‘Jenazah tak perlu lagi naik sampan’
KOTA TINGGI - Masalah membawa jenazah menaiki sampan untuk ke Tanah Perkuburan Islam Kampung Rantau Panjang di sini, bakal selesai tidak lama lagi.
Ia berikutan projek pembinaan jambatan di kampung berkenaan kini sudah siap kira-kira 90 peratus.
ADUN Pasir Raja, Rashidah Ismail berkata, projek berkenaan adalah projek pentadbiran BN sebelum ini untuk manfaat penduduk.
“Sepatutnya projek berkenaan siap Oktober tahun lepas, tapi ada tangguh sikit selepas pertukaran kerajaan.
“Selain itu, ada beberapa isu namun telah diselesaikan di antara pihak pegawai daerah dan penduduk. Kini ia telah hampir siap.
“Kita harap projek ini akan cepat siap kerana selama ini penduduk terpaksa menyeberang sungai menaiki sampan untuk ke tanah kubur dan juga kebun,” katanya kepada Sinar Harian.
Katanya, kemudahan jambatan berkenaan juga dilihat dapat membantu dari segi pembangunan pelancongan di kawasan itu.
Jelasnya, sekiranya sekitar pesisiran sungai berkenaan dibangunkan dengan pelbagai aktiviti berunsurkan pelancongan ia akan dapat menarik kehadiran orang luar.
“Misalnya boleh buat rumah rakit untuk memancing, pada waktu malam boleh lihat kunang-kunang. Tambahan pula sungai ini menghubungkan ke Kampung Sungai Telor.
“Dengan adanya kemudahan jambatan ini memudahkan lagi orang luar untuk hadir ke kampung ini,” katanya.
Terdahulu, Rashidah bersama Ahli Parlimen Tenggara, Datuk Seri Dr Adham Baba serta rombongan melakukan lawatan ke lokasi pembinaan jambatan tersebut untuk meninjau perkembangan terkini projek itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!