Kecaman netizen jadikan Sobah lebih yakin
BAGAN DATUK - Selepas mengharungi episod memilukan, mangsa 'faceshaming', Nurul Janatul Sobah Rajaai kini mempunyai keyakinan lebih tinggi untuk meneruskan cabaran berhadapan warganet.
Nurul Janatul, 21, atau mesra dipanggil Sobah berkata, dirinya tidak mahu lagi menjadikan kecaman sebagai penghalang sebaliknya berazam untuk terus bergerak ke hadapan dan percaya pada kebolehan diri sendiri.
Anak kelahiran Kampung Sungai Batang, Bagan Datuk itu fokus meneruskan minatnya dalam solekan dengan menghasilkan video-video tutorial baharu di platform akaun media sosialnya di Twitter, Instagram, Facebook dan TikTok.
"Pada permulaan memang saya sedih dan kecewa, tetapi saya ambil keputusan untuk 'move on'.
"Tak mahu lagi melayan perasaan itu secara berlebih-lebihan, lebih baik saya ambil yang positif sahaja dan teruskan kehidupan seperti biasa.
"Alhamdulillah, selepas peristiwa itu, keyakinan diri saya lebih baik dan saya dah tahu apa yang saya mampu lakukan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Sabtu.
Berkat kesabaran dan keikhlasannya, Sobah yang aktif memuat naik video dan secara langsung di media sosial sejak tiga tahun lalu telah dihujani pelbagai tawaran ulasan berbayar mengenai produk solekan dan kecantikan.
Katanya, keadaan itu memberi peluang dirinya menjana pendapatan sampingan sekitar RM1,000 seminggu bagi membantu keluarga.
"Alhamdulillah, ini rezeki ALLAH bagi, saya bersyukur, mungkin ini yang dikatakan ada hikmah di sebalik setiap kejadian.
"Malah sekarang saya sudah punya ramai kenalan baru di media sosial dan mereka ini langsung tidak lokek berkongsi ilmu teknik solekan wajah dengan saya," katanya yang turut terlibat dalam satu gerakan kempen hentikan buli siber bersama pasukan juru mekap artis (MUA).
Sobah berharap, apa yang dilakukannya itu dapat memberi inspirasi dan semangat baharu kepada mereka yang mungkin berdepan situasi sama sepertinya.
"Dalam dunia media sosial sekarang, kita jangan terlalu ambil kira dengan apa yang dikatakan netizen.
"Paling penting jangan sesekali putus semangat dan selalulah yakin dengan diri sendiri," katanya.
Minggu lalu, Sobah menjadi mangsa buli siber apabila menerima kecaman keterlaluan dengan pelbagai gelaran dan hinaan berhubung paras rupa dan fizikalnya ketika bersiaran langsung mengenai solekan di aplikasi TikTok.
Bagaimanapun ramai yang tampil memberi kata-kata semangat dan membela wanita berkenaan termasuk penyanyi Yuna dan Aizat Amdan menerusi ciapan mereka di Twitter.
Beberapa hari lalu, Sobah juga telah menerima ‘make over’ daripada jurusolek dan studio fotografi tempatan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!