MPK benarkan aktiviti penjaja, pasar pagi
KLANG - Majlis Perbandaran Klang (MPK) membenarkan aktiviti perniagaan bagi penjaja dan peniaga pasar pagi yang berlesen dengan syarat mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.
Pengarah Komunikasi Korporat MPK, Norfiza Mahfiz berkata, peniaga perlu menyediakan peranti pengimbas suhu elektronik beserta imbasan kod QR dan buku rekod kehadiran pelanggan bagi tujuan keselamatan dan kawalan kendiri.
Menurutnya, selain itu peniaga diwajibkan memasang tirai lutsinar yang saiznya bergantung kepada kesesuaian gerai di kiri dan kanan gerai masing-masing bagi mengurangkan risiko jangkitan.
"Melalui pemasangan tirai, peniaga pasar pagi dibenarkan berniaga setiap hari atau setiap minggu di pasar pagi dan tiada lagi penggiliran perniagaan.
"Peniaga juga dikehendaki untuk memantau pelanggan supaya sentiasa mematuhi jarak fizikal satu meter. Peniaga sendiri haruslah mengambil barang yang dijual untuk diberikan kepada pelanggan," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Katanya, peniaga juga dibenarkan untuk mengambil inisiatif sendiri membuat kawalan pematuhan SOP di laluan utama keluar masuk pasar seperti menggunakan perkhidmatan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM)
Katanya lagi, sebarang inisiatif wajib dimaklumkan kepada pihak MPK.
"Sekiranya kawalan di laluan telah dilakukan sendiri maka kawalan kendiri setiap gerai dibenarkan untuk dikecualikan.
"Bagaimanapun, peniaga-peniaga masih wajib mempamerkan QR kod untuk diimbas oleh pelanggan di setiap gerai, " katanya.
Tambahnya, MPK akan melaksanakan pemantauan SOP dan boleh menutup mana-mana pasar dan perniagaan peniaga atau penjaja yang melanggar garis panduan ditetapkan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!