KSSB tubuh pasukan khas siasat punca mendapan tanah
KUALA SELANGOR - [DIKEMASKINI] Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB) menubuhkan pasukan khas bagi menyiasat punca sebenar mendapan tanah di Jalan PKPS, Bestari Jaya petang Jumaat.
Jabatan Perhubungan Korporatnya, Suhaimi Khalidi berkata, pihaknya sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa berkaitan bagi menyiasat punca kejadian.
Selain itu, katanya, pihaknya juga sedang mengenal pasti kerosakan serta kerugian lain di lokasi dan kawasan berhampiran tempat kejadian.
"Keselamatan tetap menjadi keutamaan KSSB dan kami ingin meyakinkan pihak awam bahawa keadaan di lokasi kejadian adalah terkawal.
ARTIKEL BERKAITAN: Pekerja kilang cemas tanah runtuh
"Tidak terdapat risiko kesihatan dan alam persekitaran yang dikenal pasti buat masa ini," katanya dalam satu kenyataannya pada Ahad.
Mengulas lanjut kejadian itu, Suhaimi berkata, pihaknya mengesahkan berlaku mendapan tanah di lot bersebelahan yang menggelongsor masuk ke tapak operasi perlombongan di kawasan kejadian pada jam 6.45 petang Jumaat.
Katanya, disebabkan kejadian itu, tapak operasi terbabit telah pun ditutup dan semua aktiviti penjualan telah dihentikan.
"Pasukan tindakan kecemasan KSSB bekerjasama dengan bomba dan polis di lokasi kejadian bagi memantau tapak operasi.
"Sehingga kini, tiada sebarang kehilangan nyawa dilaporkan berlaku," katanya.
Sinar Harian semalam melaporkan, seramai 71 pekerja di dua kilang berasingan di Jalan PKPS, Bestari Jaya, di sini cemas berikutan kejadian tanah runtuh berhampiran kilang dan asrama pekerja pada petang Jumaat.
Difahamkan, seramai 58 pekerja di kilang ternak ulat dan 13 pekerja mengorek tanah liat yang menetap di rumah kongsi terbabit selamat dalam kejadian itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!