Amanah Wilayah kecam Pemuda UMNO edar ayam beku percuma, jalan sesak

Laporan portal Sinar Harian Jumaat lalu.
Laporan portal Sinar Harian Jumaat lalu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tindakan Pemuda UMNO Putrajaya yang membuat edaran ayam beku secara percuma semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Khamis lalu disifatkan sebagai tindakan pendek akal.

Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) Wilayah Persekutuan, Asmaaliff Abdul Adam berkata, pihaknya menggesa pihak polis mengambil tindakan tegas ke atas penganjur kerana telah menyebabkan kesesakan dan keadaan tidak terkawal semasa program berlangsung.

Menurutnya, dakwaan penganjur telah mendapatkan kelulusan pihak berkuasa yang dinafikan polis Putrajaya membuktikan berlakunya salah guna kuasa.

" PKP 2.0 merupakan titik yang lebih kritikal jika dibandingkan PKP lalu. Kami gesa tindakan tegas diambil tanpa mengira kecenderungan politik.

" Sudah masanya penguatkuasaan ditonjolkan dengan imej yang lebih tegas agar menjadi contoh tauladan untuk diikuti rakyat," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Terdahulu, sebanyak 2,000 ekor ayam diagihkan secara percuma oleh Pemuda UMNO Putrajaya hingga menyebabkan kesesakan sehingga jalan utama Presint 9 sekali gus menimbulkan kebimbangan awam terhadap jangkitan Covid-19.

Susulan itu, Pemuda UMNO Putrajaya dikenakan kompaun kerana program dijalankan tidak mendapat kelulusan dan melanggar prosedur operasi standard (SOP) PKP.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!