Kritik Syed Saddiq: Pengusaha kesal terlalu ikut emosi
PETALING JAYA - Selepas kecoh di media sosial ‘membabikan’ Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, pengusaha produk minuman, Haus Boom tampil memohon maaf atas keterlanjurannya mengeluarkan kata-kata kesat di media sosial baru-baru ini.
Azri Zahier Azmi, 30, pemilik jenama minuman tempatan, Haus Boom mengakui kata-kata kasar yang dilontarkannya kepada Syed Saddiq sangat melampaui batas dan dia kini kesal serta mengakui khilaf akibat terlalu mengikut nafsu amarah tanpa berfikir panjang bahawa yang dimakinya itu seorang berprofil tinggi, seorang menteri Kabinet.
“Saya merasakan sangat dekat dengan (YB) Syed Saddiq sebenarnya. Pendekatan beliau begitu dekat orang muda sampai tahap saya terlupa beliau seorang menteri itu khilaf, itu kesilapan saya.
“Walau bagaimanapun saya rasa mesej saya sangat jelas, saya dah sampaikan apa yang saya nak iaitu kalau sudah berjanji macam mana keadaan sekali pun janji itu mesti dipenuhi itu, matlamat utama saya rasa jelas,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di pejabatnya, di sini, hari ini.
Mula berniaga dari kecil
Anak jati Kampung Gajah, Perak ini juga menafikan sekeras-kerasnya dakwaan yang mendakwa dia bertindak kasar sedemikian atas alasan berbeza ideologi politik dengan Syed Saddiq iaitu dia ‘tentera upahan Umno’.
“Terus terang saya ialah usahawan tulen, boleh kaji latar belakang. Saya berniaga sejak umur 9 tahun, saya jual buah tepi jalan.
“Boleh semak mana-mana rekod parti, saya bukanlah ahli mana-mana parti politik setahu sayalah, kalau orang lain daftarkan, saya tak tahulah. Tapi saya menafikan sekeras-kerasnyanya, namun, saya tidak nafikan ada ahli keluarga saya terlibat dalam politik tapi, itu tidak bermakna saya juga orang politik seperti didakwa.
“Sebab apa yang kami bangunkan sehingga ke saat ini adalah hasil titik peluh kami bersama, yakni saya dengan pasukan, 30 orang semua generasi muda, semua bekerja bermati-matian untuk capai apa yang kita ada sekarang. Tanpa sebarang kaitan dengan mana-mana parti politik,” tegasnya.
Gagal kawal diri
Sementara itu, Azri Zahier turut menjelaskan, semua yang terjadi akibat kegagalan dia menahan nafsu amarah pada ketika dan saat itu.
“Puncanya terlalu mudah, iaitu saya dijanjikan sesuatu saya dah penuhi tapi pihak satu lagi tidak menunaikan apa yang dijanjikanlah, soal siapa yang memberi janji itu semua cerita lain, yang saya faham saya dijanjikan dua perkara tapi cuma satu perkara saja ditunaikan.
“ Tapi sebenarnya terus terang setelah menunggu lebih empat bulan pun saya tak ada rasa apa saya kira halal lah sebenarnya tapi apabila tiba-tiba program yang saya dijanjikan terlebih dahulu itu ditimbulkan kembali dengan produk orang lain pula, saya rasa macam tak adil kepada kita usahawan-usahawan muda.
“Saya nak tegaskan sebenarnya saya bukan bersuara bagi pihak saya semata-mata, saya juga simpati kepada kawan-kawan usahawan muda lain. Tapi saya mengaku saya dah pergi terlalu jauh. Sampai tahap memaki hamun.. Itu bukanlah contoh yang baik dan bukanlah cara yang tepat, tetapi percayalah saya dah cuba pelbagai medium saya dah berhubung sendiri dengan pegawai yang sepatutnya, saya dah hantar surat tetapi tidak mendapat respons,” ujar Azri Zahier.
Salah guna media sosial
Hal demikian, dia memilih jalan dengan bersuara lantang di media sosial untuk mendapatkan maklum balas, namun pendekatannya terlalu kasar dan akhirnya memerangkap.
“Seperti lazimya sebagai generasi muda, kita akan bawa ke media sosial itu pun sebab saya melihat beberapa contoh yang telah berjaya sebelum ini, kalau tak dapt respons bawa ke media sosial tentunya akan dapat respons dalam tempoh beberapa jam saja.
“Maka, saya pun buat perkara yang sama. Cuma silap saya adalah telah mengeluarkan kata-kata kesat kepada seorang yang berprofil tinggi, 'part' itu saya mengaku kesilapan saya. Ya saya mohon maaf, beberapa jam selepas itu pun saya terus sedar kesilapan saya atas sebab mengeluarkan kata-kata kesat, tapi orang muda ini marahnya sebentar saja.
“Beberapa jam selepas itu saya rasa, saya dah melampau batas jadi saya terus mengeluarkan kenyataan memohon maaf secara terbuka atas kata-kata kesat yang telah saya lontarkan kepada seorang menteri,“ katanya dengan kekesalan.
Bagaimanapun, menurut Azri Zahier sebaik sahaja menyampaikan permohonan maaf secara terbuka, kedaaan menjadi sedikit kendur namun, dia tidak menyangka isu ini telah dipolitikkan.
“Saya rasa sebaik sahaja sampaikan permohonan maaf itu, saya rasa keadaan pun dah kurang tegang lagi sebab saya pun tak sangka ada isu ini sudah dipolitikkan pula.
“Saya memang bersuara atas kapasiti seorang usahawan muda, tak ada niat langsung nak mengaitkan isu dengan sebarang parti politik, saya bukan orang politik tapi orang yang saya marah itu orang politik, saya lupa perkara itu.
“Sebenarnya kalau kita berniaga, tak boleh campur perniagaan dengan politik ‘it’s a big.. big no’ tapi zaman sekarang ini kita dalam fasa pertukaran kerajaan, jadi ada banyak benda dalam percubaan lagi,” tegasnya.
Bukan dirancang
Malah, dia juga menyangkal tuduhan bahawa tindakan yang dilakukannya itu sebagai strategi pemasaran bagi melariskan produk minuman keluaran syarikatnya.
“Apa saja yang kami bangunkan sehingga ke saat ini adalah hasil titik peluh kami bersama, saya dengan pasukan saya 30 orang, semua generasi muda, semua bekerja bermati-matian untuk capai apa yang kita ada sekarang.
“Tanpa ada kaitan dengan mana-mana parti politik. Ini bukan strategi pemasaran, tidak sama sekali. Sebab cara kami semua bangunkan jenama ini bukanlah menggunakan publisiti murahan,” katanya.
Tanpa berselindung, Azri Zahier yang telah membangunkan jenama minuman Haus Boom sejak 2015 itu mengakui insiden ini menjadi sejarah hitam dalam hidupnya.
“Soal yang saya dah terlanjur tu biarlah itu jadi satu sejarah peribadi saya. Saya dikecam teruk pelbagai ugutan terhadap ibu, bapa, adik beradik, isteri dan anak saya semua kena, biarlah saya dah tak nak cakap lagi mengenai perkara ini, lebih baik bercakap tentang pembangunan perniagaan,” kata Azri Zahier.
[ARTIKEL BERKAITAN: 'Kerana saya kecewa...' : Azri Zahier]
Sebelum ini, menerusi posting di Facebooknya, Azri Zahier menjelaskan kenapa beliau menggunakan bahasa kasar dalam posting sebelumnya yang bertajuk "Sempena Tahun Babi, Ini Cerita Pasal Ke-Babi-an".
Sebelum ini, Syed Saddiq melahirkan rasa kecewa dengan tuduhan seorang usahawan yang mendakwa telah 'ditipu' kementeriannya.
Ahli Parlimen Muar itu berkata niatnya hanyalah untuk membantu produk usahawan tempatan agar dapat memasuki rangkaian kedai serbaneka 7-Eleven, namun sebaliknya beliau pula dicaci.
Menurut menteri berusia 26 tahun itu, beliau telah berusaha membawa produk-produk tempatan ke perhatian usahawan terkenal Tan Sri Vincent Tan termasuk produk milik usahawan muda yang mendakwa ditipu oleh pasukan kementeriannya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!