Rumah Jariah jadi tumpuan mengaji percuma
SUNGAI PETANI - Beroperasi berlandaskan amal jariah dan sedekah pengguna laman sosial, Rumah Jariah menyediakan khidmat mengaji percuma, membantu golongan berpendapatan rendah sekaligus mengutamakan kepentingan al-Quran dalam kehidupan.
Tenaga Pengajar, Ruszawati Ismail, 36, yang ditugaskan mengajar al-Quran kepada 33 kanak-kanak seawal umur 5 hingga 15 tahun, bersyukur apabila usaha itu membantu masalah buta al-Quran.
Menurutnya, kebanyakan penduduk terdiri daripada ibu bapa yang bekerja, suri rumah dan berpendapatan rendah.
Terletak di kawasan perumahan kos rendah Ambangan Heights, Sungai Petani, rata-rata ibu bapa gembira apabila anak mereka diberi peluang mengaji tanpa sebarang bayaran.
“Dengan adanya Rumah Jariah, alhamdulillah anak-anak dapat mengaji dengan selesa, depa pun tak gaduh (perlu) bayar apa dah, percuma sahaja,” katanya.
Ruszawati yang berpengalaman hampir sembilan tahun sebagai guru Kafa mengakui, ibu bapa di sekitar perumahan berkenaan lega setelah tempat mengaji itu diwujudkan sejak Julai 2018.
“Kelas mengaji setiap Isnin hingga Khamis bermula selepas Maghrib. Hari Jumaat bermula jam 8.30 pagi manakala Sabtu dan Ahad cuti,” katanya.
Menurutnya, dengan pendedahan itu, keinginan anak-anak untuk belajar al-Quran terserlah, malah mereka cenderung mengikuti solat jemaah setiap kali ada waktu terluang di surau berdekatan.
Katanya, disebabkan ruang dan tenaga pengajar terhad, pihaknya tidak mampu lagi menerima penambahan peserta walaupun ada permintaan.
“Setiap kali ada anak-anak yang berhenti (habis mengaji) atau masuk asrama, dah ada siap pengganti untuk gantikan tempat kosong, setakat ni ada ibu bapa dok tanya dan tempah siap-siap, berebut-rebut nak masuk sini,” jelasnya.
Pemilik Rumah Jariah, Natipah Abu, 46, berkata, Rumah Jariah sebenarnya merupakan tempat perlindungan wanita terlanjur yang beroperasi di Bandar Puteri Jaya sebelum ini.
“Disebabkan tekanan begitu dahsyat, kami hanya berjaya menempatkan 10 wanita hamil yang mencari tempat perlindungan sebelum melahirkan anak, dalam tempoh setahun penubuhannya.
“Selepas itu, hasrat untuk membantu atas dasar simpati terhadap mereka tidak dapat diteruskan apabila ia ditutup akibat pelbagai masalah,” katanya.
Ibu kepada tiga anak yang aktif dalam kerja kebajikan serta pernah menyertai misi kemanusiaan ke beberapa negara luar, merasakan jiwanya kosong tanpa berbakti kepada agama dan bangsa selepas rumah perlindungan wanita terlanjur itu ditutup.
“Selepas berbincang dengan ahli keluarga, saya nekad membuka semula Rumah Jariah namun dengan fungsi berbeza iaitu menjadi tempat mengaji anak-anak kurang berkemampuan di mana kos pengurusan 100 peratus bergantung kepada sedekah pengguna laman sosial,” katanya.
Menurutnya, sebaik hasrat diluahkan menerusi Facebook, banyak pihak menghulurkan pelbagai bantuan.
“Saya bersyukur dengan pembukaan Rumah Jariah sekali lagi kerana ramai yang menghulurkan tangan, sedangkan saya sendiri tidak pernah mengetahui latar belakang penderma, hanya berlandaskan niat dan tujuan yang sama, kami gerakkan tempat mengaji ini.
“Ini amanah yang saya pikul untuk laksanakan Rumah Jariah dan alhamdulillah jiwa saya semakin tenang bila dapat beri yang termampu hasil sedekah penderma dari seluruh negara melalui Facebook,” ucapnya tersenyum.
Orang ramai yang ingin beramal, boleh berbuat demikian menerusi akaun Bank Islam bernombor 02-0200-2077-3827 atas nama Natipah Abu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!