Diserang lelaki tidak dikenali ketika bantu rakan
HULU TERENGGANU - Hasrat seorang remaja lelaki membantu tiga rakannya yang 'tersangkut' di tengah jalan disebabkan kereta dinaiki kehabisan minyak bertukar tragedi apabila diserang dan cuba dicederakan individu tidak dikenali dalam kejadian di Kampung Sungai Gawi di sini pada Jumaat.
Menurut sumber, sebelum kejadian iaitu kira-kira jam 10 malam, mangsa berusia 18 tahun menerima panggilan daripada rakannya yang memaklumkan dia bersama dua lagi rakan 'tersangkut' di lokasi kerana kereta dinaiki kehabisan minyak sebelum meminta mangsa menghantar petrol segera.
"Mengetahui lokasi mereka berada memang jauh dari kawasan perkampungan dan jarang digunakan orang ramai terutama pada waktu malam, mangsa segera pergi membeli minyak di stesen minyak berhampiran dengan menunggang motosikal ditemani seorang rakan.
"Setibanya di lokasi kira-kira jam 12.15 tengah malam, mangsa nampak ketiga-tiga rakannya sedang menunggu di dalam kereta sebelum masing-masing segera keluar dari kenderaan itu sejurus dia tiba.
"Tanpa membuang masa, mereka terus menuang minyak dan segera menghidupkan enjin kereta sebelum dikejutkan dengan kehadiran sebuah kereta tidak dikenali dan berhenti berhampiran mereka," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.
Sumber berkata, kemudian, keluar seorang lelaki tidak dikenali memegang sebatang kayu sambil memberi arahan agar jangan lari, namun disebabkan terlalu takut, mereka tetap beredar dari lokasi.
"Tetapi kereta itu tetap mengekori mereka sehingga menghala ke Bukit Simpul Kenyir di sini dan tiba di satu selekoh, mereka mengambil keputusan berpecah.
"Mangsa yang membonceng motosikal dengan salah seorang rakannya mengambil keputusan bersembunyi di paya berdekatan dan semasa bersembunyi, dia terdengar motosikal yang ditinggalkan diketuk beberapa kali sebelum dihidupkan enjin dan dilarikan," katanya.
Jelas sumber, kira-kira jam 2.15 pagi, mereka mencari semula motosikal dilarikan dan menjumpainya di dalam sebuah kebun di Kampung Basong, Kuala Berang di sini bersama kereta dinaiki suspek.
"Pemeriksaan mendapati motosikal itu sudah dirosakkan dan di dalam kereta yang sudah dipatahkan nombor pendaftaran pula ditemui sebilah parang, sebatang kayu dan beberapa helai daun dipercayai daun ketum.
"Bimbang sebarang kejadian tidak diingini berlaku kepadanya dan rakan-rakan, mangsa membuat laporan polis untuk tindakan susulan," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd Adli Mat Daud ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan kejadian.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!