Apakah hala tuju pendidikan negara?
SUSULAN PKP 2.0 yang diumumkan oleh Kerajaan, ramai yang masih tertanya-tanya apakah hala tuju pendidikan negara terutamanya dalam membuat keputusan berkenaan pembukaan atau penutupan institusi pendidikan.
Sekiranya negara masih menguruskan pandemik secara segmen, seperti sedia ada, pertindihan bidang kuasa dan konflik kepentingan antara sektor tidak akan dapat diselesaikan. Sering kali kita lihat keputusan yang dibuat oleh Kerajaan terutama Majlis Keselamatan Negara kadang kala berat sebelah dan sukar diterima akal dalam melaksanakan Prosedur Operasi Standard antara sektor.
Kami menggesa agar Kerajaan membincangkan semula hala tuju dan strategi tadbir urus yang lebih baik untuk merealisasikan usaha kita membina masa depan baru untuk negara.
Apa pun keputusan dan cadangan yang dibuat oleh Kerajaan, proses pembelajaran tidak seharusnya berhenti, malahan untuk menyokong kesinambungan dalam pendidikan, sudah tiba masanya Kerajaan mencari alternatif yang lebih bersepadu untuk memberi akses pendidikan secara adil dan saksama kepada semua pelajar di negara ini.
Membuka atau menutup sekolah tidak boleh dijadikan cadangan sama sekali lebih-lebih lagi di era pandemik. Pada masa ini, masih tidak ada templat umum yang menentukan sama ada pendidikan secara atas talian, bersemuka, atau membuat model hibrid yang menggabungkan kedua-duanya.
Walaupun kerajaan akan memastikan sekolah dan pelajar mematuhi prosedur operasi standard yang ketat, pelajar, pendidik dan ibu bapa masih tetap terdedah kepada risiko jangkitan. Malahan, pengumuman pembelian vaksin masih belum dapat dipastikan keberkesanan dan pelaksanaannya.
Sebagai rakyat, kami melihat kedua-dua Kementerian yang menerajui pendidikan negara lebih gemar menggubal dasar, memberi kata putus dan terlalu yakin bahawa apa yang rakyat perlukan sekarang sudah memadai.
- Kami sering tertanya-tanya adakah pihak Kementerian sedar atau tidak setiap modul pendidikan atas talian sekolah-sekolah di Malaysia ini berbeza-beza dan sesetengahnya masih berpandukan kepada modul memindahkan silibus sedia ada yang tidak bersesuaian dengan kaedah pembelajaran atas talian?
- Tahukah Kementerian ada pelajar yang tidak ada jadual pembelajaran tersusun disebabkan kekangan akses internet, keperluan komputer dan ibu bapa/datuk nenek yang tidak mempunyai kemahiran menggunakan teknologi?
- Tahukah Kementerian sebahagian ibu bapa rasa ‘cemburu’ apabila rata-rata sekolah jenis kebangsaan cina saja yang mampu menyediakan perkhidmatan pinjaman komputer secara percuma kepada pelajar yang kurang berkemampuan?
- Tahukah Kementerian bahawa ibu bapa kepada lima orang anak sangat memerlukan pembelajaran secara hibrid?
- Tahukah Kementerian ada ibu bapa yang terpaksa berhadapan ‘penyakit’ baharu anak-anak remaja yang kesihatan mental mereka terganggu teruk disebabkan norma baharu?
- Jangan lupa pada ibu bapa yang mempunyai anak-anak berkeperluan khas yang turut mengharapkan diberikan keutamaan. Apatah lagi bagi kami ibu bapa yang bekerja sambil belajar.
Seharusnya pada masa ini, sistem pendidikan kita sudah pun mempunyai rancangan pembaharuan atau pun Kertas Putih hala tuju pemerkasaan pendidikan di semua peringkat dalam mengharungi krisis terburuk dalam sejarah negara.
Rakyat masih lagi tertunggu-tunggu perancangan yang lebih komprehensif daripada Kerajaan terhadap hala tuju pendidikan yang lebih berkesan, memudahkan rakyat dan sekaligus selamat untuk dilaksanakan, bukannya membuat dasar yang hanya memanfaatkan sebahagian saja rakyat dan meminggirkan sebahagian yang lain.
Sebagai rakyat, kami memerlukan lebih banyak pilihan untuk meneruskan kehidupan, bukan hanya sekadar menunggu dasar atau mandat Kerajaan yang dilihat tidak konsisten.
Rancangan reformasi pendidikan, pembelajaran atas talian dan hibrid serta pendidikan percuma bukanlah perkara baru yang pernah dibangkitkan, tapi terlalu lama dibiar sepi oleh Kerajaan.
Selagi campur tangan politik tidak berhenti dalam menerajui hala tuju pendidikan negara, selagi itu negara kita sukar untuk maju ke depan dalam apa jua keadaan. Sudah tiba masanya Kerajaan membuat keputusan agar pendidikan melalui internet dan kemudahan pembelajaran yang terkait dengannya menjadi hak percuma pelajar dari peringkat rendah hingga ke peringkat tertinggi.
Ketahuilah, kami bukan hanya goyang kaki, kami terpaksa lebih berdikari, dan menanggung liabiliti tambahan untuk kemajuan pendidikan diri dan keluarga. Maaf cakap, tapi kami semakin jemu melayani konstituen yang lebih gemar memberikan arahan daripada membuat perubahan yang bermakna dalam membina masa depan pendidikan baharu untuk negara.
*Ayu Abubakar ialah seorang ibu dan pelajar ePJJ
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!