Keputusan saat akhir KPM susahkan rakyat: Pemuda Amanah
KUALA TERENGGANU – Pemuda Amanah melahirkan rasa kesal dengan tindakan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang mengumumkan penangguhan persekolahan secara bersemuka dalam waktu singkat.
Pengerusi Biro Pendidikan Pemuda Amanah, Hasbie Muda berkata, keputusan saat akhir itu menyusahkan ramai pihak terutama ibu bapa, guru dan murid yang telah pun membuat persediaan untuk ke sekolah Rabu ini.
Menurutnya, kerajaan sepatutnya sudah boleh membuat unjuran lebih awal kerana trend peningkatan kes Covid-19 yang melebihi empat angka bukannya bermula semalam.
“Pemuda Amanah kesal kerana pengumuman yang penting ini dibuat dalam selang waktu begitu singkat sebagaimana pengumuman-pengumuman mengejut Menteri Pendidikan, Dr Mohd Radzi Md Jidin sebelum ini.
“Amalan kerja saat akhir ini menyusahkan ramai pihak terutama ibu bapa, guru dan murid dalam membuat persediaan,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
KPM pada Sabtu memaklumkan sesi persekolahan secara bersemuka yang dijadualkan bermula 20 Januari di seluruh negara ditangguhkan berikutan keadaan semasa jangkitan Covid-19.
Dalam satu kenyataan, KPM memaklumkan sesi persekolahan bersemuka hanya akan melibatkan murid yang akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Vokasional Malaysia (SVM), Sijil Kemahiran Malaysia (SKM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan Diploma Vokasional Malaysia (DVM) tahun 2020 serta peperiksaan antarabangsa yang setara.
Dalam pada itu, Hasbie turut mencadangkan supaya KPM memperbanyakkan rancangan pendidikan di saluran televisyen percuma sebagai kemudahan kepada rakyat yang kurang berkemampuan untuk belajar di rumah.
Justeru katanya, kerajaan perlu menambah peruntukan kepada Bahagian Sumber dan Teknologi Pembelajaran (BSTP) untuk membangunkan bahan pembelajaran digital berkualiti dan menarik, seiring pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).
“Kerajaan perlu sedar masalah capaian jalur lebar yang masih berada pada tahap rendah di kawasan pedalaman. Jadi, sebahagian guru, murid dan ibu bapa kurang berkemampuan dalam menyediakan kemudahan PdPR.
“Bukan semua keluarga mampu menyediakan kemudahan PdPR apatah lagi seawal sekolah rendah dan menengah.
“Memandangkan sebahagian besar masa murid-murid kini berada di rumah dan masalah ini tidak menunjukkan tanda akan tamat dalam masa terdekat, KPM wajar memperbanyakkan rancangan pendidikan di saluran percuma dengan segera.
“Ini bertepatan memandangkan pada masa ini rancangan sedemikian terlalu sedikit,” katanya.
https://www.sinarharian.com.my/article/119431/BERITA/Nasional/Pembukaan-sekolah-seluruh-negara-20-Januari-ditangguhkan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!