Pelaksanaan darurat tak jejas keyakinan pelabur

Mohamed Azmin
Mohamed Azmin
A
A
A

KOTA TINGGI - Pelaksanaan darurat yang pernah dilaksanakan sebelum ini seperti di Parlimen Gerik, Perak dan Dewan Undangan Negeri Bugaya, Sabah, terbukti tidak menjejaskan keyakinan pelabur untuk melabur di Malaysia.

Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, malah, pelabur asing melihat langkah itu sebagai kesungguhan kerajaan untuk menangani penularan pandemik Covid-19.

Menurutnya, sejak proklamasi darurat dilaksanakan pada 12 Januari lalu, aktiviti perniagaan adalah berjalan seperti biasa.

“Pelabur semakin yakin bahawa Malaysia berjaya menangani penularan Covid-19 secara bertanggungjawab dan kita akan meneruskan usaha ini.

“Apabila kita dapat melandaikan keluk Covid-19, ekonomi negara akan pulih dengan lebih cepat. Jika panjang lagi masanya, lagi besar (usaha untuk memulihkan ekonomi).

"Itu sebabnya kita memerlukan situasi di mana ordinan (darurat) telah diperkenankan oleh Tuanku (Yang di-Pertuan Agong) bertujuan untuk menangani Covid-19,” katanya kepada pemberita di pejabat Jabatan Kebajikan Masyarakat di sini pada Ahad.

Beliau berkata demikian bagi mengulas dakwaan penganalisis mengenai kemungkinan keyakinan pelabur asing boleh terjejas berikutan pelaksanaan darurat.

Pada Selasa lalu, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memberi perkenan Pengisytiharan Proklamasi Darurat dilaksanakan di seluruh negara sebagai langkah proaktif membendung wabak Covid-19 di negara ini.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, Mohamed Azmin menyampaikan bantuan kepada beberapa wakil keluarga di daerah ini yang terjejas akibat banjir bersempena misi bantuan kemanusiaan pasca banjir Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) serta agensi-agensi di bawahnya.

Ahli Parlimen Gombak itu juga menjelaskan proklamasi darurat itu bertujuan untuk menangani isu pandemik secara lebih berkesan.

“Peguam Negara juga telah memberikan penjelasan secara terperinci dalam mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) semalam kepada semua Menteri Besar yang hadir termasuklah Ketua Menteri Pulau Pinang, Menteri Besar Negeri Sembilan dan Menteri Besar Selangor dari kerajaan negeri pimpinan Pakatan Harapan.

“Kita telah memberikan penjelasan dan penjelasan itu diterima baik oleh semua,” katanya.

Sementara itu, Mohamed Azmin berkata, MITI antara kementerian yang paling aktif mengadakan libat urus dengan persatuan industri dan dewan perdagangan untuk mendapatkan maklum balas daripada mereka.

“Kita percaya kita boleh mendapat pandangan yang baik dan daripada libat urus kita kemukakan kepada MKN untuk mengeluarkan senarai yang kita rasa perlu diberi kebenaran (beroperasi) ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 atau PKP Bersyarat (PKPB).

“Aktiviti ekonomi juga perlu berjalan kerana kita tidak mahu pekerjaan anak-anak kita terjejas dan juga pendapatan negara khususnya Keluaran Dalam Negara Kasar.

“Bagi sektor lain, kita harap mereka dapat memahami keperluan untuk menjaga kesihatan dan keselamatan rakyat kerana Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berpandangan antara langkah untuk membendung penularan pandemik ini adalah dengan mengurangkan pergerakan,” katanya.

Bagaimanapun, Mohamed Azmin berkata, kerajaan akan meneliti senarai industri yang dibenarkan beroperasi dari masa ke masa mengikut perkembangan semasa dan situasi Covid-19 dalam negara.

“Kerajaan sentiasa mengambil sikap terbuka. Kita akan mendapatkan pandangan tambahan dan merujuk kepada KKM sebelum memberi pertimbangan yang sewajarnya,” katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!