Mangsa banjir terus dibantu
DUNGUN - Mangsa banjir terutama golongan sederhana dan kurang berkemampuan di Kampung Kuala Jengal di sini mendapat perhatian Relawan Muda Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Dungun yang tampil menyalurkan sumbangan berupa barangan keperluan asas, lampin pakai buang dan peralatan sekolah.
Ketua Relawan, Mohd Izzuddin Abd Kadir berkata, seramai 25 ahli Relawan Muda ISMA juga digerakkan bagi membantu membersihkan rumah mangsa banjir yang terjejas.
“Banyak kawasan yang terjejas akibat banjir di kampung ini tetapi tidak semuanya mengalami kesan yang teruk seperti air naik sehingga ke bumbung rumah.
“Kita dapat lihat kesan banjir yang jelas pada dinding dan lantai rumah diselaputi lumpur tebal menyebabkan mangsa banjir agak sukar untuk membersihkan lantai kerana tidak mempunyai kelengkapan pembersihan.
“Kita bantu mereka dengan membersihkan lantai dan dinding rumah menggunakan ‘water jet’, jadi proses membersihkan rumah akan menjadi lebih mudah,” katanya ketika ditemui selepas penyerahan bantuan barangan asas kepada mangsa banjir pada Sabtu.
Sebelum ini, mangsa banjir di PPRT Kampung Tersusun Rantau Panjang turut dibantu oleh pasukan Relawan Muda ISMA Dungun.
Yayasan Ikhlas dan Yayasan Maghfirah yang merupakan rakan kolaborasi ISMA bagi misi bantuan banjir kali ini, turut menyasarkan lebih banyak rumah yang akan diberi bantuan sama.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!