JKNS pastikan kesihatan, motivasi anggota kesihatan terjamin: Dr Sha’ari

DR SHA'ARI
DR SHA'ARI
A
A
A

SHAH ALAM - Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) sentiasa mengambil kira aspek penjagaan kesihatan dan keselamatan semua anggota kesihatan untuk mengekalkan semangat dan motivasi.

Pengarahnya, Datuk Dr Sha'ari Ngadiman berkata, pihaknya juga mengambil berat soal persekitaran kerja dan keperluan asas anggota kesihatan yang bekerja di mana-mana fasiliti kesihatan di Selangor.

“Berkenaan dengan sumber manusia, JKNS telah membuat pengagihan tambahan pegawai perubatan, jururawat, penolong pegawai perubatan, pembantu perawatan kesihatan melalui ‘redeployment’ dalam negeri mahupun dari negeri lain.

“Tambahan personel melalui pengambilan pegawai kontrak baharu oleh Ibu Pejabat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ke Hospital Sungai Buloh juga dilakukan untuk mencukupkan keperluan tenaga kerja,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi satu kenyataan pada Ahad mengenai satu artikel berjudul ‘Letter: A Tired Doctor From Sg Buloh Asks To Be Treated Humanly’ yang disiarkan oleh sebuah portal berita dalam talian pada Sabtu.

Dalam pada itu, Dr Sha’ari berkata, kakitangan yang bertugas dalam perawatan Covid-19 di Hospital Sungai Buloh atau hospital lain akan diberikan elaun Covid-19 dan elaun lebih masa serta elaun-elaun lain atas kelayakan.

Menurutnya, semua Pegawai Perubatan Atas Panggilan diberikan makanan mengikut kelayakan dalam surat pekeliling KKM.

“Semasa awal pandemik Covid-19, banyak sumbangan makanan yang diterima oleh pihak hospital daripada badan-badan sukarela, industri, agensi dan sebagainya di Hospital Sungai Buloh.

Artikel Berkaitan:

“Namun kini sumbangan tersebut telah berkurangan atau tiada. Bagaimanapun, bekalan makanan masih boleh diperoleh dari kafeteria atau ‘food outlet’ yang beroperasi di hospital, selain daripada membuat pesanan makanan dalam talian,” katanya.

Sementara itu, Dr, Sha’ari berkata, pegawai perubatan dan kakitangan lain yang ditempatkan di wad Covid-19 bertugas mengikut sistem syif untuk mengurangkan beban kerja serta diberikan hari rehat seperti yang dijadualkan secara adil.

Beliau berkata, setiap wad Covid-19 mempunyai ruang rehat yang selamat untuk petugas beristirahat, solat, makan dan membersihkan diri mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan bagi memastikan ia bebas dari kawasan pesakit dan petugas berada dalam keadaan bersih.

"Kakitangan yang terlibat juga dibekalkan pakaian pelindung diri (PPE) yang mencukupi serta pemantauan dari segi pemakaian, penanggalan dan pembuangan PPE dilakukan secara teliti supaya infeksi silang tidak berlaku," katanya.

Menurutnya, perkhidmatan Psychological First Aid (PFA) disediakan untuk memberi sokongan moral dan khidmat nasihat kepada anggota keselamatan yang memerlukan.

Katanya, PFA bertanggungjawab untuk menjaga keselamatan mental anggota tersebut dengan menyalurkan maklum balas daripada anggota keselamatan kepada pihak pengurusan hospital dan terus kepada pihak negeri serta KKM untuk tindakan selanjutnya.

“Pihak hospital juga akan menambah naik komunikasi dalaman dalam kalangan staf dengan pengurusan dan berusaha untuk mencari alternatif lain berkenaan perkara tersebut,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!