Wajar geruni jihad perangi rasuah dicetuskan Sinar Harian
KOTA BHARU - Jihad perangi rasuah yang digerakkan Sinar Harian sepatutnya digeruni dan menyedarkan pihak yang selama ini terbiasa menerima atau memberi habuan.
Presiden Akademi Integriti Negara (AIN), Datuk Wan Rosdi Mat Rasik berkata, kesungguhan akhbar Sinar Harian tidak boleh dipandang sebelah mata kerana keseriusan ditunjukkan sangat berasas.
Menurutnya, semangat juang yang dicetuskan Sinar Harian perlu disokong sepenuhnya untuk menghentikan penyakit ‘pembunuh moral’ dalam masyarakat yang membabitkan pelbagai peringkat tanpa mengenal siapakah mereka.
“Saya sangat tertarik dengan idea Sinar Harian walaupun tahu perkara ini mungkin membahayakan pencetusnya.
“Hasrat dan keberanian ini mungkin berdepan dengan gangguan namun niat murni kerana ALLAH SWT ini tidak akan tinggal sebagai idea sahaja jika masing-masing sedar akan natijahnya,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.
ARTIKEL BERKAITAN: Gerakan memulihkan moral bangsa
Jihad untuk menghapuskan rasuah
Sinar Harian pada Sabtu, memperkenalkan kempen atau gerakan yang dinamakan Sinar Untuk Malaysia #KarakterNilaiMoralBangsa dan ia berjaya mendapat respons positif daripada pelbagai pihak.
Tidak bertujuan untuk mengambil alih tugas mana-mana pihak berkuasa khususnya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), sebaliknya gerakan massa oleh Sinar Harian dengan mewujudkan Sinar Rasuah Busters itu sebenarnya sebagai pembuka laluan bagi mengajak rakyat bangkit membanteras rasuah.
Mengulas lanjut, Wan Rosdi berkata, tindakan Sinar Harian yang diibaratkan ‘menyinsing seluar ke paras paha’ untuk memerangi rasuah juga sebenarnya tidak boleh dilihat sebagai memperlekehkan mana-mana pihak tetapi perlu dianggap untuk menyebarluaskan di seluruh negara ini.
“Usaha ini diibaratkan menjentik hati semua masyarakat untuk menjadi mata dan telinga selain mengajak rakyat bersama-sama melaporkan jenayah rasuah,” katanya yang juga mantan Pengerusi Yayasan Anti Rasuah Kelantan.
Katanya, selain usaha Sinar Harian melalui media, pemimpin komuniti boleh mengambil tanggungjawab memperhebatkan gerakan terbabit menerusi inisiatif tertentu bersesuaian dengan normal baharu.
“Kita tahu rasuah bukan sahaja membabitkan golongan mampu atau berjawatan tetapi peringkat bawahan secara kecilan ini juga tidak terkecuali.
“Jadi gunakan peluang yang ada untuk menghentikan 'wabak' sebegini daripada terus membarah di peringkat awal lagi.
“Kecil-kecil bila dibiarkan boleh bertukar menjadi jerung dan bahayanya bukan sahaja dihukum oleh undang-undang dunia tetapi lebih berat adalah dosa yang ditanggung kelak,” katanya.
Selain itu, katanya juga, masyarakat perlu diberikan keyakinan sekiranya mereka menjadi pembekal maklumat dan perkara sebegini jugaklah menjadikan orang ramai suka dan bukannya takut berkongsi info.
ARTIKEL BERKAITAN: Sinar Harian: Jihad perangi rasuah
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!