Banjir terarah ke Sabah, penduduk terjejas perlu ikut arahan

 Pekan Donggongon Penampang mula dinaiki air setelah hujan lebat berterusan sejak semalam. - Foto Bernama
Pekan Donggongon Penampang mula dinaiki air setelah hujan lebat berterusan sejak semalam. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Situasi banjir ketika ini, terarah kepada Sabah susulan hujan lebat berterusan sepanjang minggu ini yang menjejaskan beberapa daerah di Negeri di Bawah Bayu itu.

Setakat petang Ahad, mangsa banjir di Sabah meningkat kepada 348 orang berbanding 176 pagi Ahad dan kesemua mangsa ditempatkan di sembilan pusat pemindahan sementara (PPS).

Daerah yang terjejas adalah Kota Kinabalu, Kota Belud, Pitas, Beaufort, Paitan, Putatan, Penampang, Tuaran dan Papar.

Selain itu, situasi banjir itu turut menjejaskan 25 jalan di beberapa daerah dengan 10 kejadian tanah runtuh berlaku pada Ahad, bagaimanapun tiada kematian dilaporkan akibat kejadian tersebut.

Antara daerah terlibat dengan jalan terjejas adalah Penampang, Tuaran, Kudat, Pitas, Paitan dan Lahad Datu, manakala kejadian tanah runtuh dilaporkan di tujuh kampung melibatkan empat daerah iaitu Kota Kinabalu, Kota Marudu, Pitas serta Kudat.

Susulan itu, Ketua Menteri Sabah, Datuk Hajiji Noor menggesa semua penduduk yang terjejas banjir agar segera berpindah ke PPS sekiranya diminta berbuat demikian serta mematuhi setiap arahan pihak berkuasa bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini.

Dalam pada itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) turut meramalkan ribut petir di beberapa kawasan di Sabah dan Sarawak serta Labuan hari ini sehingga 23 Januari depan (Sabtu).

Di Sarawak, mangsa banjir di PPS menunjukkan penurunan kepada 1,208 setakat ini berbanding 1,870 orang pagi Ahad.

Artikel Berkaitan:

Sementara di Johor, keadaan banjir surut sepenuhnya susulan penutupan dua PPS di Segamat dan Batu Pahat, manakala di Pahang, banjir di Temerloh dan Bera turut pulih setelah tiga PPS terakhir di daerah tersebut ditutup pada Ahad. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!