Pematuhan SOP tinggi di dua pasar: Timbalan KM Sarawak

DOUGLAS UGGAH
DOUGLAS UGGAH
A
A
A

KUCHING - Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, tahap kepatuhan orang ramai terhadap prosedur operasi standard (SOP) bagi mencegah wabak Covid-19 di Pasar Komuniti Kota Sentosa dan Stutong di sini adalah tinggi.

Beliau yang merupakan Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sarawak (SDMC) berkata, hasil tinjauannya di kedua-dua pasar berkenaan mendapati tahap pematuhan SOP adalah hampir 100 peratus dari segi pemakaian pelitup muka, penjarakkan fizikal, pendaftaran masuk serta pemeriksaan suhu badan.

"Ini adalah sikap yang sangat positif dan berita yang sangat baik untuk Sarawak. Rakyat mematuhi SOP. Dengan kata lain, mereka memberikan kerjasama sepenuhnya untuk memerangi wabak ini," katanya kepada pemberita ketika membuat pemeriksaan mengejut di sini pada Ahad.

Oleh itu, beliau berharap semua pasar dan pusat beli-belah mempunyai standard kepatuhan yang sama, dan memuji pegawai penguat kuasa tempatan yang memainkan peranan mereka memastikan orang ramai terus mematuhi SOP.

"Kadang-kadang saya tahu ini adalah tugas yang sukar (pegawai penguat kuasa), ketika dalam lawatan saya tadi, saya melihat seorang atau dua orang tidak memakai atau terlupa menggunakan topeng muka, tetapi tolonglah gunakan kaedah diplomasi untuk memberi nasihat atau mengingatkan mereka.

"Jelaskan kepada mereka objektifnya adalah untuk melindungi mereka dan keluarga," kata Uggah.

Datuk Bandar Kucing Selatan, Datuk Wee Hong Seng turut menyertai Uggah semasa lawatan itu. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!