Industri insurans, takaful cari kaedah kurangkan perbelanjaan pesakit Covid-19

Foto 123RF
Foto 123RF
A
A
A

KUALA LUMPUR - Industri insurans dan takaful sedang bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan serta Bank Negara Malaysia untuk meneroka kaedah bagi mengurangkan perbelanjaan rawatan pesakit Covid-19 khususnya di hospital swasta.

Persatuan Insurans Hayat Malaysia (LIAM), Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM) dan Persatuan Takaful Malaysia (MTA) dalam satu kenyataan bersama memberitahu secara amnya, risiko berkaitan pandemik tidak dilindungi di bawah mana-mana pelan insurans dan takaful di seluruh dunia.

"Pengecualian itu berpunca daripada kesukaran menetapkan harga untuk perlindungan berkaitan peristiwa seperti pandemik yang mungkin hanya berlaku sekali seumur hidup termasuk impak dan kos yang tidak dapat diduga. Covid-19 adalah pandemik; oleh itu ia tidak diinsuranskan/dilindungi di bawah manfaat insurans/takaful perubatan serta kesihatan.

“Bagaimanapun, sebagai tindak balas kepada keperluan segera negara semasa peringkat awal pandemik pada 2020, majoriti penginsurans hayat dan pengendali takaful telah menyediakan manfaat tambahan seperti pendapatan hospital harian yang akan dibayar kepada pemegang polisi/pemegang sijil yang terjejas,” kata persatuan itu.

LIAM, PIAM dan MTA berkata, industri itu menyokong perlindungan kepentingan pemegang polisi/pemegang sijil dan menyumbang kepada kejayaan perkongsian swasta serta awam dalam memenangi perjuangan menentang pandemik itu.

Industri ini, kata mereka, telah bertindak pantas dalam usaha untuk melaksanakan pelbagai langkah bantuan bagi membantu pemegang polisi/pemegang sijil menghadapi kesan kewangan daripada pandemik berkenaan.

Ini merangkumi penangguhan premium polisi/caruman takaful yang telah memberi faedah kepada lebih sejuta pemegang polisi/pemegang sijil membabitkan premium/caruman bernilai lebih RM1.6 bilion.

Dana Ujian Covid-19 (CTF) sebanyak RM8 juta telah ditubuhkan pada Mac 2020 bagi membolehkan pemegang polisi insurans perubatan dan kesihatan menjalani ujian saringan Covid-19.

Artikel Berkaitan:

Di samping usaha industri secara menyeluruh, syarikat insurans dan pengendali takaful secara individu juga telah melancarkan pelbagai skim untuk membantu pemegang polisi/pemegang sijil, tambahnya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!