Aduan bersemuka jamin hak pemberi maklumat

Shamshun
Shamshun
A
A
A

SHAH ALAM - Aduan secara bersemuka kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung salah laku rasuah di negara ini adalah kaedah terbaik memastikan pengadu mendapat perlindungan di bawah akta yang telah termaktub.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya Pencegahan SPRM, Datuk Seri Shamshun Baharin Mohd Jamil berkata, pemberi maklumat perlu bersedia dikenali oleh pegawai SPRM.

Menurutnya, setiap pengadu yang mahu dilindungi perlu menandatangani dokumen agar pemberi maklumat mendapat perlindungan sekiranya aduan yang dibuat didapati menjejaskan kedudukannya khususnya dalam sesebuah organisasi.

“SPRM akan melindungi identiti setiap pemberi maklumat. Namun jika pengadu tidak menandatangani sebarang hitam putih, dia tidak dilindungi jika aduannya memberi kesan terhadapnya. “Contoh sekiranya seorang pengadu membuat laporan berhubung ketua jabatannya, kemudian dia dikenakan tindakan tatatertib dan sebagainya, SPRM boleh ambil tindakan terhadap pihak tersebut.

“Walaupun siasatan kes masih berjalan, pengadu tetap mendapat hak perlindungan termasuk sehingga tahap mendapat pampasan asalkan dia tidak didapati membuat aduan palsu,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.Jelas beliau, dua akta yang melindungi kepada pengadu ialah Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 (Akta 711) dan Akta Perlindungan Saksi 2009 (Akta 696).

Katanya, dengan dua akta itu masyarakat perlu berani tampil sebagai pemberi maklumat demi mengatasi isu rasuah di negara ini.

“Isu rasuah ialah isu bersama. SPRM tidak boleh menjalankan tugas dengan baik tanpa sokongan masyarakat.

“Selain aduan bersemuka, SPRM menyediakan pelbagai saluran lain termasuk melalui portal aduan, aplikasi, talian telefon dan e-mel, bahkan surat layang juga kita layan.

Artikel Berkaitan:

“Kesemua aduan yang dibuat akan diambil kira, namun ia mesti ada elemen asas 5W1H (apa, siapa, mengapa, bila, di mana dan bagaimana), bukannya terlalu umum bagi membantu siasatan lanjut,” katanya.

Beliau berkata, proses siasatan bagi satu-satu aduan bergantung kepada jenis kes dan akan mengambil masa agak lama jika ada membabitkan pentadbiran negara lain.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!