'Jangan ikut sedap mulut Duterte'

Naib Presiden Filipina, Leni Robredo
Naib Presiden Filipina, Leni Robredo
A
A
A

MANILA - Naib Presiden Filipina, Leni Robredo tidak senada dengan kenyataan Rodrigo Duterte yang melabelkan golongan wanita tiada kemampuan untuk menerajui tampuk pemerintahan negara.

Menurutnya, kenyataan Presiden berusia 75 tahun itu menyimpang dan meremehkan isu hak kesaksamaan gender.

"Kami tidak setuju dengan kenyataan Duterte. Beliau sebenarnya melihat golongan wanita lebih bersikap merendah diri.

"Kerana itu beliau membuat kenyataan sedemikian," kata Robredo yang juga pengkritik tegar kempen anti dadah Duterte.

Pada masa sama, Robredo percaya penyertaan golongan wanita dalam kerajaan amat signifikan dalam pembangunan Filipina.

"Kenyataan berbaur seksis Duterte tidak membantu dalam usaha pemerkasaan wanita di negara ini.

"Beliau sebagai Presiden perlu lebih peka dan bertanggungjawab. Jangan main ikut sedap mulut kerana beliau bukan orang biasa.

"Negara yang menunjukkan trek rekod terbaik semasa pandemik Covid-19 pemimpinnya adalah wanita," ujar Robredo.

Artikel Berkaitan:

Minggu lalu, Duterte mengeluarkan kenyataan kontroversi apabila menganggap wanita tidak sesuai menjadi Presiden Filipina.

Beliau mengeluarkan kenyataan itu bagi menutup pengkritik yang meramalkan anaknya, Sara Duterte-Carpio bakal menggantikan tempatnya pada tahun hadapan.

Sebelum itu, Sara, 42, yang sebelum ini menggantikan tempat bapanya sebagai Datuk Bandar Davao City berada di tempat teratas tinjauan pendapat senarai bakal calon untuk Pilihan Raya Presiden 2022.

Sementara Robredo berada di tangga kelima berdasarkan tinjauan membabitkan 2,400 orang responden. - Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!