Tiga cerita pada Tahun Baharu Cina
SEMPENA cuti panjang Tahun Baharu Cina, saya telah pulang ke kampung Kuala Terengganu.
Perjalanan agak lancar juga. Tiada kesesakan lalu-lintas. Namun jalan dari Gerik ke Jeli agak tidak rata dan boleh mengundang bahaya juga, terutama keadaan garisan jalan yang sudah pudar dan jalan berlubang.
Sepanjang percutian ini, ada beberapa cerita yang ingin saya kongsi. Cerita biasa-biasa sahaja tetapi menarik juga. Sebagai bekalan masa hadapan ataupun untuk diambil iktibar supaya hidup kita lebih bermakna.
Cerita pertama saya, adalah ketika singgah di Hentian Bukit Titiwangsa. Kata orang, di sini merupakan puncak tertinggi antara banyak puncak. Ramai juga yang singgah untuk melepaskan penat lelah selepas memandu jauh. Apatah lagi cuti panjang pula.
Saya sempat berkenalan dengan seorang pakcik. Katanya panggil saja Pak Hamid. Pak Hamid yang sedang makan nasi ayam di situ beritahu saya yang dia baru pulang dari melawat anaknya.
Katanya lagi, anaknya tinggal seorang, suaminya pula bekerja di Belanda dalam bidang minyak dan gas. Banyak juga cerita Pak Hamid berkenaan negara Belanda itu.
“Awak tahu, di Belanda, rumah biasa-biasa saja. Cuma dapurnya agak hebat. Perkakasan dapur saya rasa, ribu-ribu harganya.
“Setiap minggu juga saya pergi ke pasar basah. Bersih sungguh. Darah ikan pun tak ada. Di dalam kotak ikan pun dipasangnya pendingin hawa selain guna ais," cerita Pak Hamid.
“Mereka jaga sungguh-sungguh benda yang hendak masuk perut,” kata saya pula.
“Itulah, negara orang kafir pula tu,” kata Pak Hamid.
Kemudian, setelah selesai makan, saya terus bergerak ke Kuala Terengganu. Saya tiba di Terengganu pada pukul 5 petang. Tiba di kampung halaman, kereta saya pula rosak. Nasib baik sudah tiba destinasi, kalau rosak di puncak Titiwangsa itu susah juga.
Keesokan, saya terus cari mekanik kampung. Saya berkenalan pula dengan seorang mekanik muda bernama Duan. Ketika semua sudah bercuti dia masih tekun bekerja. Gigih orangnya.
Kata Duan, “saya tak cuti bang. Habis kerja di bengkel, saya sambung baiki kereta di rumah."
Kagum saya dengan pemuda ni. Dia datang baiki kereta saya di rumah saja. Siapa kata rakyat Malaysia malas bekerja? Siapa?
Kata Duan, dia hanya dapat baiki kereta saya untuk digunakan sementara saja. Katanya, cuti Raya Cina ni, kedai pembekal tutup. Tak dapat dia beli alat ganti.
Sementara kereta dah boleh dihidupkan, saya cuba cari kedai lain pula.
“Kena tunggu kedai buka bang," kata seorang tauke kedai bateri.
Saya bernasib baik ketika sampai di Losong, terpandang kedai selenggara bateri, motor pengengkol dan pelemah. Saya terus berhenti dan bertanya. Lega rasanya mekanik itu sanggup baiki.
Katanya, “susah nak cari alat ganti bila musim perayaan. Lebih-lebih lagi bila ada perniagaan monopoli ni. Cuma, sebagai peniaga kenalah pandai juga.”
Akhirnya kereta saya selesai juga dibaiki. Hanya RM70. Saya tidak tukar alat ganti baharu, selenggara sahaja. Kata Wan tauke kedai itu, “sayang kalau diganti baharu. Masih boleh pakai lagi.”
Saya senyum dan terus hulur duit. Daripada tiga cerita ini, maka dapatlah saya simpulkan cerita pertama tentang kebersihan negara orang kafir berbanding negara Islam. Begitulah agaknya maksud Pak Hamid apabila menyebut begitu.
Maka teringatlah pula saya akan peribahasa Melayu lama ini, ‘dari telaga yang keruh, tidak akan mengalir air yang jernih.’ Mungkin peribahasa ini perlu dikaji lagi. Sebab sekarang nampaknya banyak benda baik lahir daripada orang yang dikatakan mempunyai tabiat jahat pula. Sedangkan terbukti yang dikatakan suci sebenarnya seperti bercakap kosong saja.
Cerita kedua, elok juga kita semua fikirkan. Bukan apa, perkara ini perlu diberi perhatian serius. Terutama oleh mereka yang memperjuangkan hak-hak itu dan ini. Bagaimana hendak membantu mereka yang dikatakan malas?
Saya tertanya-tanya juga, kenapa selepas sebegitu banyak dasar yang diperkenalkan, masih ada yang tidak berjaya. Bak kata peribahasa Melayu lama lagi, seperti si buta kehilangan tongkat, namun walaupun sudah diberikan tongkat masih teraba-raba. Siapa yang teraba-raba sebenarnya? Ramai yang meraba-raba saku sendiri agaknya.
Cerita ketiga, tak perlulah saya simpulkan lagi. Panjang pula ceritanya nanti. Cuma hendaklah kita berfikir juga, terutama oleh ahli yang dikatakan bijak pandai itu.
*Penulis seorang jurutera kanan di sebuah syarikat lebuh raya dan amat meminati penulisan kreatif. Untuk bicara, email beliau : mrfaisalmuhamad@gmail.com
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!