Perniagaan dibenarkan, tidak dibenarkan semasa PKP di Johor
JOHOR BAHRU - Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh Johor pada kali ini memberi kelonggaran dan lebih banyak perniagaan dibenarkan beroperasi berbanding PKP pertama sebelum ini.
Exco Perumahan dan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, Ayub Jamil berkata, tujuannya untuk merancakkan ekonomi dan membolehkan peniaga meneruskan perniagaan dalam waktu sukar ketika ini.
Selain itu menurutnya, keputusan itu juga membantu pembeli dan pengguna untuk mendapatkan barangan serta perkhidmatan sepanjang tempoh pelaksanaan PKP, namun prosedur operasi standard (SOP) mesti dipatuhi.
"Pematuhan ini bagi menjaga kebajikan dan keselamatan pembeli dan peniaga sepanjang operasi perniagaan. Keputusan ini dibuat kerana terdapat kekeliruan terhadap jenis perniagaan dibenar dan tidak dibenarkan dalam SOP am dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
"Keputusan ini dibuat dalam satu mesyuarat bersama polis, Jabatan Kesihatan Negeri Johor, MKN, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) yang diadakan pada 17 Januari 2021 membincangkan penyelarasan dan penyeragaman SOP Am PKP di seluruh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Johor," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Ayub berkata, perniagaan yang tidak dibenarkan antaranya pasar pagi/sehari; pasar malam dan bazar larut malam; kedai pakaian/gunting rambut/salon/rawatan dan kecantikan kuku/Spa dan refleksologi; pejabat urusan/kontraktor hiasan dalaman; kedai menjual/membuat cenderamata dan jualan promosi Tahun Bahru Cina (hanya ruang legar dalam bangunan sahaja).
Katanya, turut tidak dibenarkan butik andaman/pengantin; kelas tuisyen/kelas muzik, kelas tarian; seni/kelas mengaji/kelas bahasa dan sebagainya; kelab malam atau pub; taman tema, indoor playground, karaoke keluarga, pusat hiburan keluarga dan panggung wayang; taman awam PBT; perkhidmatan tabib (akupuntur); agensi nombor ramalan dan permainan video/cyber cafe.
"Begitu juga kolam renang persendirian/tempat belajar renang; fasiliti di hotel/penginapan (kolam renang, gim, Spa); syarikat pengendali pelancongan; gimnasium, dewan badminton, kompleks sukan pelbagai dan pusat sukan lain; kolam pancing dan sekolah memandu," katanya.
Beliau berkata, selain itu perniagaan yang dibenarkan antaranya restoran; kedai/gerai makan; kenderaan bersaji (food truck); penjaja tepi jalan; penjaja beredar; medan selera/pusat penjaja; gerai makan tepi jalan/kiosk; kedai runcit, kedai serbaneka serta pasar tani.
Begitu juga katanya, hospital; klinik dan makmal perubatan; kedai farmasi; stesen minyak; klinik dan kedai makanan haiwan; kedai dobi dan kedai cermin mata; kedai dobi layan diri; bengkel kenderaan/motosikal/bot (servis/tayar/aksesori/alat ganti) dan bengkel kenderaan mengetuk/mengecat); kedai bunga/nurseri/barangan landskap/tapak semaian.
Jelasnya, bagi premis yang mempunyai ruang menjual pakaian dan kasut/beg dalam satu premis yang sama, hanya ruang kasut/beg yang dibenarkan manakala ruang pakaian tidak dibenarkan.
Tambahnya, jika terdapat pelanggaran dan ketidakpatuhan SOP seperti kegagalan mengehadkan jumlah maksimum kehadiran pelanggan pada satu-satu masa, tindakan penguatkuasaan yang tegas dan bersesuaian boleh diambil termasuk penutupan premis berkenaan.
LARANGAN DAN KEBENARAN BERNIAGA DI JOHOR
*TIDAK DIBENARKAN
PASAR
- Pasar pagi/sehari, pasar malam dan bazar larut malam
PERKHIDMATAN
- Kedai gunting rambut, salon, spa dan refleksologi, butik pengantin, agensi pelancongan dan kontraktor hiasan dalaman
KELAS
- Tuisyen, muzik,tarian, seni, al-Quran,bahasa dan sekolah memandu
PUSAT HIBURAN
- Kelab malam, taman tema, taman permainan tertutup, karaoke dan wayang
AWAM
- Taman awam PBT, gimnasium, dewan badminton, kompleks sukan, kolam memancing dan kolam renang (persendirian/tempat belajar renang, hotel, gim dan spa)
LAIN-LAIN
- Kedai pakaian, kedai cenderamata dan jualan promosi Tahun Bahru Cina, siber kafe, tabib (akupuntur) serta agensi nombor ramalan
*DIBENARKAN
MAKANAN
Restoran,kenderaan bersaji (food truck), penjaja tepi jalan, penjaja beredar, medan selera/pusat penjaja, kiosk, kedai runcit, kedai serbaneka dan pasar tani
KESIHATAN
Hospital, klinik dan makmal perubatan dan farmasi
BENGKEL
Kereta, motosikal dan bot - servis, aksesori, alat ganti mengetuk serta mengecat
LAIN-LAIN
Stesen minyak, klinik dan kedai makanan haiwan, dobi termasuk layan diri, kedai cermin mata, kedai bunga dan nurseri
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!