Gagal jaringkan gol perkara menjengkelkan

Penyerang Liverpool, Roberto Firmino merembat ke gawang Manchester United namun tetap gagal menjaringkan gol pada perlawanan berkenaan
Penyerang Liverpool, Roberto Firmino merembat ke gawang Manchester United namun tetap gagal menjaringkan gol pada perlawanan berkenaan
A
A
A

KEGAGALAN kesebelasan Liverpool menjaringkan gol pada aksi berdepan Manchester United dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) di Anfield awal pagi Isnin, dilihat sebagai perkara yang menjengkelkan.

Perkara itu ditegaskan pengendali The Reds Jurgen Klopp berikutan ia telah berlarutan dalam tiga perlawanan berturut-turut dan disifatkan sebagai satu rekod buruk buat skuad kendaliannya itu sejak musim 2005 lalu.

Justeru menurutnya, perkara berkenaan perlu diberikan perhatian serius oleh kesebelasan pemain khususnya di posisi serangan pasukan.

“Tiada penjelasan bagi perkara ini (gagal menjaringkan gol), kerana sebagai pemain adakalanya kita terlepas peluang dan kita perlu terus beraksi kerana apa yang mahu disaksikan adalah jaringan gol.

“Pemain kita juga beraksi baik tetapi kami tidak menjaringkan gol dan itu adalah perkara paling penting dalam bola sepak.

“Jika kami menang 1-0 pada perlawanan itu, ia sudah cukup memadai; tetapi anda tidak boleh menafikan peluang yang dimiliki oleh United dalam tempoh 90 minit perlawanan kerana jelas mereka beraksi dengan cukup baik,” katanya.

Sementara itu Klopp menegaskan skuad The Reds itu perlu melakukan sesuatu dalam usaha ‘mempertajamkan’ lagi jentera serangan pasukan.

Katanya, perkara berkenaan perlu diberikan perhatian serius dalam usaha memastikan skuad kendaliannya itu kembali menemui sentuhan gol pada perlawanan akan datang.

Artikel Berkaitan:

“Inilah bola sepak dan saat-saat seperti ini memang terjadi. Adakalanya anda sendiri tidak dapat menjelaskan bagaimana anda mampu menjaringkan gol dari pelbagai sudut.

“Apa pun secara keseluruhannya, saya suka menyaksikan perlawanan ini kerana saya dapat menyaksikan banyak aksi individu dan juga aksi berpasukan yang baik, cuma ia tidak menghasilkan keputusan yang kita mahukan,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!