Minyak masak naik harga: KPDNHEP keluar enam notis

Rosol (tengah) meninjau minyak masak di sebuah pasar raya di Kuala Berang pada Isnin.
Rosol (tengah) meninjau minyak masak di sebuah pasar raya di Kuala Berang pada Isnin.
A
A
A

HULU TERENGGANU - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengeluarkan enam notis kepada peniaga untuk siasatan lanjut berikutan laporan kenaikan harga minyak masak botol di beberapa lokasi.

Timbalan Menterinya, Datuk Rosol Wahid berkata, tindakan penguatkuasaan itu dilakukan susulan pihaknya menerima tiga aduan pengguna iaitu dua di Johor dan satu di Putrajaya berhubung perkara tersebut.

Menurutnya, notis di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 dikeluarkan bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan sama ada peniaga terbabit mengaut untung lebih atau pun dinamakan pencatutan.

Katanya, pemeriksaan pegawai dan anggota penguat kuasa di lapangan mendapati, kenaikan harga minyak masak sawit bagi botol 5kg itu hanya membabitkan jenama tertentu dan berlaku di beberapa lokasi sahaja.

"Sehingga 15 Januari, sebanyak tiga aduan kenaikan harga minyak masak sawit dalam botol 5kg diterima.

"Walau jumlahnya tidak banyak, namun kita tidak pandang remeh dan hasilnya sebanyak enam notis sudah dikeluarkan kepada peniaga.

"Kita akan siasat dari peringkat pengeluar, pemborong hinggalah peruncit. Mereka tidak boleh manipulasi harga kerana semuanya dicatat, jika ada unsur pencatutan dan untung lebih kita akan ambil tindakan," katanya selepas meninjau harga minyak masak dibotolkan di sebuah pasar raya di Kuala Berang di sini pada Isnin.

Pengguna di beberapa kawasan sebelum ini dilaporkan merungut apabila harga beberapa jenis minyak masak botol 5kg naik antara RM25 hingga RM28 sebotol berbanding RM19 hingga RM22 sebelum ini.

Artikel Berkaitan:

Rosol yang juga Ahli Parlimen Hulu Terengganu berkata, kenaikan harga minyak masak dibotolkan berlaku berikutan peningkatan harga minyak sawit mentah di pasaran sejak beberapa bulan lalu dengan nilai terkini komoditi itu mencecah RM800 setan.

Bagaimanapun katanya, pengguna tidak perlu bimbang dengan situasi berkenaan kerana kerajaan ada menyediakan minyak masak peket bersubsidi dengan harga tetap RM2.50 sekilogram sebagai pilihan alternatif.

"Ada kemungkinan minyak peket subsidi ini akan jadi rebutan kerana harganya murah tapi kita akan pantau.

"Kita ada kuota pengeluaran dengan sesetengah syarikat boleh keluarkan sehingga 300 tan minyak masak peket subsidi sebulan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!