Seri hanya bermakna jika United menang aksi berikutnya
PENGENDALI Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer menegaskan keputusan tanpa jaringan ketika berdepan Liverpool di Anfield awal pagi Isnin hanya bermakna sekiranya Manchester United mampu memenangi perlawanan seterusnya.
Solskjaer turut enggan ‘meraikan’ keputusan perlawanan berkenaan sebaliknya mengingatkan kesebelasan pemain United untuk bersedia berdepan Fulham di Craven Cottage, awal pagi Khamis ini.
“Keputusan ini hanya akan menjadi keputusan yang baik sekiranya kita menang pada perlawanan berikutnya.
“Kita sebenarnya berdepan dengan pasukan yang baik dan saya memang kecewa kerana kita melepaskan banyak peluang.
“Aksi kita juga dilihat semakin baik pada penghujung perlawanan tetapi kita tetap gagal menembusi benteng lawan,” katanya.
Biarpun terikat tanpa jaringan, skuad The Red Devils itu dilihat terus menerajui carta Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan 37 mata hasil 11 kemenangan, empat seri dan tewas tiga kali daripada 18 perlawanan manakala skuad The Reds jatuh ke kedudukan keempat dengan 34 mata hasil sembilan kemenangan, tujuh seri dan tewas dua kali daripada 18 perlawanan.
Mengulas mengenai aksi berdepan Liverpool, Solskjaer berkata, dia dapat melihat kesebelasan United bekerja keras di sepanjang perlawanan bagi memastikan kemenangan.
Bagaimanapun katanya, segala usaha berkenaan dilihat masih belum mencukupi bagi menghasilkan kemenangan yang sangat diharap-harapkan.
“Saya tahu pemain telah berikan aksi terbaik mereka pada perlawanan ini, namun saya juga percaya mereka (pemain) boleh melakukannya dengan lebih baik selepas ini.
“Bagi saya Pogba (Paul) telah beraksi dengan baik kali ini bagi menyaingi Robertson (Andy); namun bagi saya, Liverpool turut beraksi baik walaupun hanya dengan meletakkan dua pemain tengah Fabinho dan Henderson (Jordan) di benteng pertahanan; namun mereka tetap memberikan aksi yang berkualiti.
“Apa pun, kita perlu lakukan beberapa perkara bagi memastikan kita boleh beraksi lebih baik, lebih tersusun selepas ini,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!