Darurat: Bawa ke mahkamah langkah terdesak pembangkang

Rosol (tengah) menyampaikan bantuan kepada peniaga kecil dan penjaja yang terjejas banjir serta Covid-19 di Hulu Terengganu pada Isnin.
Rosol (tengah) menyampaikan bantuan kepada peniaga kecil dan penjaja yang terjejas banjir serta Covid-19 di Hulu Terengganu pada Isnin.
A
A
A

HULU TERENGGANU - Langkah pembangkang untuk mencabar pengisytiharan darurat yang dibuat kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di mahkamah dilihat sebagai tindakan terdesak dan ke belakang.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Rosol Wahid berkata, usaha yang diketuai Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu juga disifatkan sebagai aneh kerana keputusan berkenaan tidak bercanggah dengan peraturan dan Perlembagaan negara.

"Dengan pengisytiharan darurat ini, saya nampak rakyat gembira, tidak nampak rakyat susah dan berarak sana-sini. Malah, saham juga naik dengan hebat.

"Ini menunjukkan masyarakat gembira. Yang tidak gembira adalah pihak kecewa dan jumlahnya tidak banyak. Saya harap kerajaan teruskan apa yang baik demi kesejahteraan rakyat," katanya ketika ditemui pada majlis penyerahan sumbangan bantuan RM500 kepada peniaga kecil dan penjaja yang terjejas akibat banjir dan Covid-19 di Pusat Khidmat Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Bukit Tok Bat, Kuala Berang di sini pada Isnin.

Pada majlis itu, Rosol yang juga Ahli Parlimen Hulu Terengganu menyerahkan bantuan kepada 119 penerima menerima melibatkan peruntukan sebanyak RM59,500.

Sementara itu, Rosol yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna menafikan bahawa pengisytiharan darurat dibuat bagi menyelamatkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) sebagaimana didakwa pihak tertentu.

ARTIKEL BERKAITAN: Pembangkang akan cabar pengisytiharan darurat: Anwar

Sebaliknya, kata beliau, ia merupakan darurat kesihatan bertujuan mengurangkan agenda politik dan menjamin keselamatan dan kesejahteraan rakyat berikutan peningkatan mendadak kes baharu Covid-19 hingga mencecah 3,000 sehari.

Artikel Berkaitan:

"Dalam kita sibuk nak tolong rakyat terjejas banjir dan Covid-19, ada pihak yang tidak bertanggungjawab mahu keluar parti, nak tarik sokongan. Bagi saya ini tindakan tidak bertanggungjawab.

"Bila keadaan selesai, nak tukar kerajaan ke, nak tukar Perdana Menteri ke, nak buat apa saja, tak apa. Saya yakin rakyat memahami serta dapat nilai antara kaca dan permata," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!