Pemimpin pembangkang Rusia ditangkap sejurus tiba dari Jerman
MOSCOW - Rusia menangkap pengkritik dan pemimpin pembangkang negara itu, Alexei Nalvany di sebuah lapangan terbang Moscow pada Ahad sejurus sebuah pesawat yang dinaikinya mendarat dari Berlin.
Menurut perkhidmatan penjara negara berkenaan iaitu FSIN, dia ditangkap di Lapangan Terbang Sheremetyevo, Moscow kerana melakukan pelbagai perlanggaran undang-undang setelah hukuman penjara ke atasnya ditangguhkan pada tahun 2014 atas dakwaan melakukan penipuan.
"Dia akan ditahan sehingga sebuah mahkamah membuat keputusan," tambah kenyataan FSIN kepada AFP.
Pihak FSIN berkata, pihaknya berulang kali memberikan amaran kepada Navalny, 44, kerana gagal hadir untuk melaporkan diri kepada pihak perkhidmatan penjara itu dalam tempoh dua kali sebulan.
Ketika bercakap kepada AFP, peguam bela pemimpin pembangkang itu, Olga Mikhailove berkata, beberapa pegawai pihak berkuasa tidak membenarkan Navalny ditemani ketika dia ditangkap.
"Alexei (Navalny) ditangkap tanpa sebarang alasan diberikan. Semua perkara yang berlaku ketika ini adalah tidak mengikut undang-undang," katanya.
Polis Rusia turut menangkap beberapa pembantu Navalny termasuk aktivis terkenal Moscow, Lyubov Sobol.
Sebelum ini, pemimpin pembangkang itu menyalahkan Presiden Rusia, Vladimir Putin berhubung kejadian dia diracun tetapi dakwaan tersebut kemudian dinafikan oleh Moscow.
Penangkapann Navalny mendapat kritikan Eropah dan pegawai-pegawai Amerika Syarikat yang mendesak Moscow membebaskannya secepat mungkin.
Pada Rabu lalu, pemimpin pembangkang itu dilaporkan berkata, dia akan pulang ke Rusia dari Jerman selepas pulih akibat diracun oleh agen saraf ketika pihak berkuasa Rusia mengancam
untuk memenjarakannya semula.
Racun itu dipercayai dimasukkan ke dalam minuman teh sebelum dia menaiki sebuah pesawat di Rusia pada tahun lalu. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!