Padah tumbuk kereta, baling pasu ke arah jiran

Seorang jurujual didenda RM2,600 oleh Mahkamah Majistret di sini pada Isnin.
Seorang jurujual didenda RM2,600 oleh Mahkamah Majistret di sini pada Isnin.
A
A
A

PETALING JAYA - Gara-gara menumbuk bonet kereta Mercedes Benz milik jirannya sehingga kemek dan membaling pasu bunga ke arah lelaki itu pada November tahun lepas, seorang jurujual didenda RM2,600 oleh Mahkamah Majistret di sini pada Isnin.

Majistret Muhammad Iskandar Zainol mengenakan denda itu terhadap Tan Boon Leong, 35, selepas dia mengaku bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan tersebut.

Lelaki itu didakwa melakukan khianat dengan menumbuk sehingga kemek bonet kereta milik S. Selvakumar, 50, mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang setahun dan maksimum 5 tahun, atau denda atau kedua-duanya.

Boon Leong juga dituduh berkelakuan kurang sopan dengan membaling pasu bunga ke arah mangsa sama dan didakwa mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM100.

Kedua-dua kesalahan dilakukan di kawasan kejiranan di Jalan Puteri 8/9, Bandar Puteri, Puchong, di sini, pada 11.30 malam, 23 November tahun lepas.

Bagi kesalahan melakukan khianat, Muhammad Iskandar mengenakan denda RM2,500 atau penjara dua bulan terhadap tertuduh, sementara bagi kesalahan berkelakuan kurang sopan, mahkamah memerintahkan tertuduh membayar denda RM100 atau penjara sehari. Tan membayar denda itu.

Mengikut fakta kes, pada hari kejadian, mangsa yang sedang memandu keretanya di kawasan kejiranan tersebut telah mendengar bunyi hon dan merasakan keretanya telah dilanggar oleh tertuduh daripada belakang.

Mangsa kemudian keluar dari kereta dan bertanyakan kepada Boon Leong mengapa tertuduh melanggar keretanya, namun Boon Leong bertindak menumbuk bonet kereta mangsa sehingga kemek sebelum membaling sebuah pasu ke arahnya.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya ‘Atifah Hazimah Wahab memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal berbentuk pengajaran terhadap tertuduh dengan mengambil kira kerugian yang dialami mangsa.

Bagaimanapun, peguam Chuan Shyue Chien yang mewakili tertuduh merayu mahkamah menjatuhkan hukuman berbentuk denda ringan atas alasan anak guamnya merupakan penanggung utama keluarga selain telah insaf dan tidak akan mengulangi kesalahan sama pada masa akan datang. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!