PKP di Melaka mungkin dilanjutkan: Exco
MELAKA - Tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 di Melaka tidak mustahil akan dilanjutkan jika kes positif Covid-19 terus merekodkan peningkatan.
Exco Kesihatan dan Anti Dadah, Datuk Rahmad Mariman berkata, bagaimanapun keputusan itu akan dipertimbangkan pada Rabu ini memandangkan setakat ini Melaka masih mencatatkan sembilan kluster aktif.
Menurutnya, beliau berharap orang ramai terus mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
"Kita akan lihat pada Rabu minggu pertama PKP2.0 dilaksanakan macam mana situasi kita.
"Sekiranya terdapat penurunan, kita bersyukur namun jika kes terus naik saya rasa tiada kemungkinan untuk PKP itu ditamatkan lebih awal," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan lawatan pematuhan di setiap premis dan kedai di sekitar Ayer Molek dan Duyong di sini pada Isnin.
Rahmad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Molek berkata, kerajaan negeri telah bersetuju untuk membenarkan Dewan Bistari Ayer Keroh dijadikan Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) pertama di negeri ini tidak lama lagi.
Menurutnya, persiapan bagi mengisi kelengkapan dewan sedang giat dijalankan dan dijangka dapat menampung 200 hingga 250 pesakit berisiko rendah pada satu-satu masa.
"Inisiatif ini bagi menampung jumlah pesakit di Hospital Melaka yang kini telah hampir 90 peratus penuh dan Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali juga telah memberi persetujuan.
"Kita melihat ada keperluan untuk mewujudkan PKRC memandangkan kes harian di negeri ini semakin menaik berbanding pesakit yang sembuh maka atas kerisauan itulah kita bersedia awal," katanya.
Mengulas lanjut Rahmad berkata, setakat ini 98 individu positif Covid-19 berisiko rendah telah menjalani isolasi di rumah dan akan dipantau setiap hari oleh petugas kesihatan di negeri ini.
"Bagaimanapun isolasi di rumah ini hanya melibatkan kes berisiko rendah dan pihak Jabatan Kesihatan Negeri juga akan membuat penilaian mengenai kapasiti ruang dan bilik sama ada benar-benar menepati kriteria atau tidak," katanya.
Dalam pada itu, kluster aktif di Melaka termasuk Kluster Pantai Peringgit, Kluster Dialisis Malim, Kluster Teknologi Kesidang, Kluster Rambai, Kluster Telok Mas, Kluster Anak Air, Kluster Tembok Kemus serta Kluster Jalan Harapan dan Kluster Tanjung Megah yang melibatkan banduan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!