Skim Jaminan PRIHATIN Danajamin ditingkatkan sehingga RM1 bilion
SHAH ALAM - Pembiayaan maksimum Skim Jaminan PRIHATIN Danajamin (SJPD) ditingkatkan kepada RM1 bilion berbanding RM500 juta sebelum ini.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata, kerajaan juga akan memperluaskan skop pembiayaannya kepada perbelanjaan modal dengan tempoh jaminan sehingga 10 tahun.
Menurutnya, syarikat milik asing yang beroperasi di Malaysia juga boleh mendapat jaminan SJPD dengan syarat jumlah pekerja tempatan mereka adalah sekurang-kurangnya 75 peratus.
"Di bawah pakej PENJANA yang lalu, kerajaan mengumumkan SJPD bernilai RM50 bilion bagi menyokong sektor swasta terus berkembang dan merancakkan ekonomi negara.
"Kerajaan berharap penambah baikan SJPD ini akan dapat menjana pertumbuhan sektor swasta dan juga mengekalkan kedudukan Malaysia sebagai destinasi pilihan pelaburan," katanya pada Pengumuman Khas Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (Permai) yang disiarkan secara langsung di stesen televisyen serta platform media sosial pada Isnin.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!