Persekolahan secara bersemuka Tabika Kemas ditangguh

No Image Caption
A
A
A

PUTRAJAYA - Sesi persekolahan Tabika Kemas secara bersemuka di seluruh negara yang sepatutnya bermula pada 20 Januari ini ditangguhkan ke suatu tarikh yang akan dimaklumkan kelak.

Menurut Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) dalam satu kenyataan pada Isnin, pihaknya mengambil maklum trend peningkatan jangkitan Covid-19 dan memutuskan untuk mengikut langkah yang diambil oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sebagai langkah pencegahan.

"Bagi memastikan tidak berlaku keciciran dalam kalangan kanak-kanak Tabika Kemas, kaedah pembelajaran secara Home-base Learning (pembelajaran di rumah) yang ditetapkan oleh jabatan akan digunakan melalui kaedah Pelaksanaan Pembelajaran dan Pemudahcaraan (PdPc)," katanya.

Sabtu lepas, KPM memaklumkan sesi persekolahan secara bersemuka bermula 20 Januari ini di seluruh negara hanya membabitkan calon yang akan menduduki peperiksaan utama bagi 2020.

Sementara itu, Kemas menjelaskan pihaknya memberi kebenaran bersyarat untuk Taska Kemas beroperasi sekiranya terdapat permohonan daripada ibu bapa yang bertugas sebagai barisan hadapan untuk menghantar anak-anak mereka dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan.

PKP dikuatkuasakan di Pulau Pinang, Selangor, Melaka, Johor, Sabah serta Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan sejak 13 Januari sehingga 26 Januari ini.

PKP bermula 16 Januari hingga 29 Januari pula melibatkan Kelantan dan Sibu, Sarawak. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!