Ikan laga bukan lagi jaguh kampung
SEJAK kecil lagi memang Merak Jalanan sudah biasa hidup di kampung dan melakukan pelbagai aktiviti yang menyeronokkan. Bukan macam budak-budak di bandar.
Di kampung antara aktiviti yang paling menyeronokkan ialah mandi manda dan menangkap ikan di tali air. Tetapi paling popular pada waktu itu ialah menangkap ikan laga.
Sampai sekarang pun sebenarnya masih ada budak-budak kampung yang tangkap ikan laga.
Uniknya sekarang, orang dah tak panggil ikan laga lagi. Ikan laga sudah naik taraf kehidupannya. Macam perempuan, kalau di kampung kita panggil ‘Minah’ tetapi apabila datang ke bandar namanya sudah bertukar jadi ‘Sally’.
Ikan laga sekarang kita panggil betta fish. Disebabkan taraf hidup ikan itu sudah meningkat, gaya hidupnya turut berubah. Harganya juga boleh tahan dan mencecah RM1,000 seekor.
Patutlah Disember lalu, tiga lelaki ditahan polis kerana dipercayai terlibat dalam kes mencuri beberapa ekor ikan laga yang dianggarkan bernilai RM500 di sebuah rumah di Kedah. Dulu tiada siapa pandang pun ikan laga.
Sekarang, daun pokok ketapang yang tidak pernah ada nilai pun sudah jadi duit khabarnya. Daun ini penting untuk ikan laga.
Merak Jalanan pernah bela beberapa ekor ikan tetapi banyak juga dah mati. Susah juga nak jaga sebenarnya. Tetapi Merak Jalanan tumpang gembira sebab ikan laga ini dah jadi sumber pendapatan ramai orang.
Khabarnya, ada yang dapat pendapatan sehingga RM8,000 sebulan tapi mungkin ada yang dapat lebih daripada itu. Diharap orang kita dapat belajar bersungguh-sungguh mengenai bidang ini supaya ikan laga dapat permintaan tinggi di seluruh dunia.
Senang cerita, buat sampai jadi. Jangan sekadar jadi jaguh kampung sendiri. Alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!