Rasuah: Rakyat kecewa dan marah
SHAH ALAM - Kecewa, marah dan kesal antara luahan masyarakat apabila ditanya tentang isu rasuah di negara ini yang kini semakin ketara memberi kesan buruk kepada masyarakat secara keseluruhannya.
Rata-rata mereka menyifatkan sikap tamak segelintir individu yang hidup dengan hasil rasuah itu telah mencemarkan kesejahteraan semua pihak dan perlulah diatasi dengan langkah lebih proaktif.
Bagi Perunding Hartanah, Febriani, 33, tidak boleh dinafikan kegiatan rasuah menjadi punca kepada banyak hal buruk yang berlaku antaranya jika melibatkan urusan dengan agensi-agensi tertentu.
Katanya, kegiatan rasuah akan menjadi pencetus kepada kegagalan mengawal selia bidang tugas masing-masing dan akhirnya memberi kesan kepada orang lain yang tidak bersalah.
"Masalah rasuah adalah sikap individu dan tidak mewakili agensi secara keseluruhannya. Namun disebabkan sikap tamak, ia telah menyebabkan agensi atau pihak bertanggungjawab gagal melaksanakan tugas dengan sempurna.
"Mungkin hukuman terhadap pesalah rasuah tidak cukup berat untuk menyedarkan golongan yang tamak ini, jadi satu langkah drastik perlu diambil memastikan hukuman bagi jenayah rasuah ini membuatkan orang lain takut untuk terlibat dengan rasuah," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.
Bagi pekerja swasta, Mohd Fauzi Bin Mohd Hanif, 40, rasuah di Malaysia sudah dianggap kritikal dan boleh mengancam keselamatan negara.
Akuinya, jenayah tersebut akan membuatkan negara hilang kredibiliti sebagai sebuah negara yang mendukung 'rule of law' dan menguatkuasakan undang-undang anti rasuah yang tegas.
"Kerajaan dicadangkan supaya membuat tapisan temu duga kerja penjawat awam serta temu duga kenaikan pangkat penjawat awam dengan lebih ketat.
"Daripada segi pendakwaan pesalah rasuah pula, selain hukuman kepada penerima, hukuman kepada pemberi rasuah juga perlu lebih berat. Tanpa pemberi rasuah, permintaan terhadap rasuah akan berkurangan," katanya.
Bagaimanapun, penulis bebas, Ahmad Isyafiq Mad Desa, 33, berpendapat masalah rasuah boleh dikatakan terkawal apabila pihak berkuasa berjaya menumpaskan pelbagai kes rasuah termasuk berprofil tinggi seperti beberapa pemimpin politik.
"Rasuah masih ada, tapi saya yakin badan seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) juga melakukan yang terbaik untuk membanteras gejala rasuah.
"Saya amat berharap isu rasuah ini dididik di sekolah sebagai sebahagian subjek penting seperti mana subjek Pengajian Am dalam tingkatan enam dan subjek itu wajib untuk lulus. Pendidikan elemen terpenting untuk memastikan generasi baharu mengenali apa itu rasuah. Rasuah tidak semestinya hulur duit, minum kopi dan hadiah juga boleh dikategorikan sebagai rasuah. Jadi nak bagi anak muda faham jenis jenis rasuah..Perlu wujudkan dalam sistem pendidikan awal hingga tinggi," katanya.
REAKSI
"Selagi ada rakyat miskin, selagi itu rasuah wujud. Saya cadangkan agar gaji semua orang dapat ditingkatkan. Sebenarnya memang tidak logik apabila seorang anggota polis contohnya terpaksa mengorbankan nyawa dengan pelbagai kegiatan jenayah hanya untuk pendapatan RM3,000. Tapi mereka tiada pilihan." - Pekerja swasta, Edward Hiew Seng Huang
"Rasuah memang membimbangkan tidak kira berat atau ringan, terangan atau tidak. Pihak berkuasa perlu lebih agresif dan amanah dalam menjalankan tugas agar boleh menurunkan indeks jenayah rasuah negara ini dari masa ke semasa." - Usahawan Kosmetik, Noraida Mohd Nasir
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!