Pasukan bomba terus kekal bersemangat
KUALA LUMPUR - Anggota bomba yang berdepan serangan perusuh di Kuil Sri Maha Mariamman, Subang Jaya, awal pagi semalam, masih bersemangat tinggi.
Dalam kejadian kira-kira jam 1 pagi itu, Anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya, Muhammad Adib Mohd Kassim parah dipukul.
Muhammad Adib, 24, kemudian telah dikejarkan ke Pusat Perubatan Subang Jaya (SJMC) sebelum dipindahkan ke Institut Jantung Negara (IJN), pada jam 11.33 malam tadi.
Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Mohammad Hamdan Wahid berkata, beliau telah menghubungi anggota bomba yang terbabit secara peribadi untuk mengetahui keadaan mereka selepas insiden berkenaan.
Menurutnya, anggota yang terbabit ini dari Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya.
"Mereka masih bersemangat meneruskan tugas mereka sehingga shif mereka selesai. Mereka ini masih belum tidur, daripada berlaku rusuhan sehingga Muhammad Adib dipindahkan ke IJN.
“Saya rasa mungkin pagi ini shif mereka tamat, dan pasukan yang lain akan ambil alih untuk penugasan," katanya dalam sidang media di IJN, di sini, hari ini.
[ARTIKEL BERKAITAN: Maklumat terbaru kenalpasti individu cederakan bomba]
Beliau berkata, dalam taklimat bersama pasukan ini kita maklumkan kes yang berlaku di sekitar perimeter kawasan itu, pergerakan operasi di bawah kawalan adalah dengan kebenaran polis bagi elak kejadian tidak diingini.
Mengulas lanjut tentang kejadian tersebut, Hamdan berkata ketika kejadian anggotanya memaklumkan mereka menyangka perusuh yang berkumpul itu orang yang memerlukan pertolongan.
“Ketika itu anggota kita hanya memikirkan untuk turun membantu mereka yang di dalam kesusahan.
“Itulah semangat anggota bomba, mereka sentiasa mengutamakan keselamatan orang lain dan sentiasa ingin cuba menyelamat, tetapi tanpa disangka mereka diserang kumpulan itu,” katanya.
.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!