PM Palestin minta EU hantar pemerhati pantau tindakan Israel

Mohammed Shtayyeh - Foto AFP
Mohammed Shtayyeh - Foto AFP
A
A
A

RAMALLAH - Perdana Menteri Palestin, Mohammed Shtayyeh pada Isnin meminta Kesatuan Eropah (EU) untuk menghantar para pemerhati pada pilihan raya perundangan yang dijadualkan berlangsung pada tahun ini.

Shtayyeh juga meminta para pemantau EU untuk memantau tindakan rejim Zionis memperluaskan kawasan pemilikan haramnya di timur Baitulmuqaddis.

Pada Jumaat lalu, Presiden Palestin, Mahmud Abbas menandatangani satu surat bagi mengadakan pilihan raya perundangan pada 22 Mei dan pilihan raya Presiden pada 31 Julai.

Ia merupakan pilihan raya pertama Palestin dalam tempoh 15 tahun.

Sebelum mesyuarat Kabinet, Shtayyeh meminta EU untuk menyediakan sebuah pasukan antarabangsa bagi memerhatikan proses pilihan raya Palestin terutamanya di Baitulmuqaddis.

Israel memperluaskan kawasan pemilikannya secara haram di timur Baitulmuqaddis berikutan kemenangannya dalam Perang Enam Hari pada tahun 1967.

Bagaimanapun, langkah itu tidak pernah diiktiraf oleh kebanyakan masyarakat antarabangsa.

Negara Yahudi itu juga mengharamkan semua aktiviti Pihak Berkuasa (PA) Palestin yang beribu pejabat di Tebing Barat iaitu wilayah yang diduduki oleh Israel.

Artikel Berkaitan:

Namun, setakat ini tidak ada petunjuk bahawa rejim Zionis akan membenarkan pilihan raya Palestin diadakan di timur Baitulmuqaddis.

"Kami akan meminta secara rasmi kepada Israel supaya membenarkan penduduk di Baitulmuqaddis untuk mengambil bahagian (mengundi) dalam pilihan raya," kata Shtayyeh seperti dilaporkan AFP.

Pada Jumaat lalu, EU menyambut baik kenyataan Abbas berhubung pilihan raya tersebut dan mendesak rejim Zionis untuk memudahkan pilihan raya itu diadakan di seluruh wilayah Palestin termasuk timur Baitulmuqaddis.

Pilihan raya itu diadakan ketika hubungan baik antara parti pimpinan Presiden Palestin itu, Fatah yang menguasai PA dengan saingannya, Hamas iaitu sebuah pergerakan Islam yang mentadbir wilayah Gaza.

Pada tahun 2005 semasa pilihan raya Presiden diadakan, Abbas memperoleh sokongan sebanyak 62 peratus bagi menggantikan Allahyarham Yasser Arafat yang meninggal dunia di sebuah hospital di Perancis pada tahun 2004.

Dalam pilihan raya perundangan Palestin pada tahun 2006, Hamas tanpa disangka-sangka berjaya memenanginya. - Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!