Kerajaan sedia pinda undang-undang tangani LGBT
KOTA BHARU - Kerajaan tidak menolak sebarang kemungkinan untuk meminda Akta 355 bagi menangani isu golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) secara lebih berkesan.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Ahmad Marzuk Shaary, berkata, perkara itu akan dipertimbangkan jika enakmen sedia ada tidak berkesan.
Bagaimanapun katanya, buat masa ini enakmen berkenaan masih diguna pakai selain meningkatkan penguatkuasaan oleh pihak berkuasa agama negeri.
“Mungkin kita perlu menambah baik penguatkuasaan. Kita tidak menolak kemungkinan untuk membuat pindaan kepada kadar hukuman sedia ada supaya lebih memberi kesan kepada mereka.
“Setakat ini di bawah Akta 355 memperuntukkan hukuman penjara tiga tahun, denda RM 5,000 dan enam sebatan,” katanya.
Terdahulu beliau menyempurnakan Misi Bantuan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) Foodbank dan Masjid-Masjid di Wilayah Persekutuan ke Negeri Kelantan di Pengkalan Chepa pada Selasa.
Mengulas lanjut, Ahmad Marzuk yang juga Ahli Parlimen Pengkalan Chepa berkata, kerajaan sebelum ini juga mengarahkan penguat kuasa di setiap negeri bertegas dalam isu berkenaan.
“Arahan kepada ketua penguat kuasa agama negeri telah diberikan supaya mengambil tindakan tegas kepada mana mana individu yang perlakuan tidak sopan, pakaian kontra dengan jantina dan juga berkelakuan bercanggah dengan undang undang enakmen syariah negeri,” katanya.
Katanya, tidak kira di mana-mana negeri sahaja semua pihak termasuk masyarakat boleh melaporkan kegiatan tidak bermoral itu kepada pejabat agama masing-masing.
Selain itu, ibu bapa dan jiran tetangga juga perlu bersama-sama kerajaan memainkan peranan dalam menangani isu itu menjadi lebih parah agar tindakan mahupun pendakwaan boleh dilaksanakan.
Katanya juga setakat ini tumpuan penguatkuasaan dilakukan di kawasan Lembah Klang berbanding negeri lain atau Kelantan yang dilihat tidak begitu ketara kes LGBT.
Ahmad Marzuk juga memberitahu, selain penguatkuasaan dan hukuman kerajaan turut memberikan sokongan kepada kumpulan LGBT yang ingin berhijrah.
“Saya sendiri turun pandang mendekati golongan ini, mereka mahu berubah cuma perlu sokongan. Kerajaan juga menyediakan bimbingan kerohanian selain bantuan modal untuk mereka memulakan perniagaan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!