Kerajaan dapatkan nasihat KKM untuk lanjut operasi kedai makan
KUALA LUMPUR - Kerajaan akan mendapatkan nasihat daripada Kementerian Kesihatan (KKM) berhubung saranan melanjutkan waktu operasi restoran atau kedai makan di negeri-negeri yang kini melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan menerima rungutan orang ramai kerana had waktu sehingga jam 8 malam menyukarkan mereka mendapatkan makanan untuk makan malam terutama bagi golongan pekerja.
Beliau bagaimanapun berkata, kerajaan juga perlu mempertimbangkan kes positif harian Covid-19 yang masih tinggi ketika ini.
“Kita juga menerima pertanyaan daripada beberapa orang, semua premis perniagaan ditutup pada jam 8 malam. Kalau restoran tutup jam 10 (malam), maka perlukah buka kedai lain sampai jam 10 (malam)?
“Kes (sekarang) masih dalam sekitar 3,000 lebih. Susah juga itu, jadi biarlah KKM keluarkan pandangan mereka,” katanya menurut laporan Malaysiakini pada Selasa.
Pada sidang akhbar mengenai perkembangan PKP pada Selasa lepas, Ismail Sabri memaklumkan kerajaan menetapkan had waktu untuk restoran dibuka hanya antara jam 6 pagi hingga 8 malam setiap hari.
Beliau berkata, ini termasuk kedai makan, penjaja tepi jalan dan beredar serta medan selera, namun tidak boleh makan di premis berkenaan kerana hanya penghantaran, pembungkusan dan pandu lalu dibenarkan.
Bagaimanapun, sejak PKP dilaksanakan bermula Rabu lalu, ada dalam kalangan orang ramai menyuarakan rasa tidak puas hati mengenai kekangan masa untuk mendapatkan makan malam setelah pulang daripada bekerja.
Ini menyebabkan perbahasan dalam kalangan warga maya dan baru-baru ini mencetuskan perdebatan sengit antara dua individu di Twitter yang menyebabkan hashtag #SiBodohKauDengarSini menjadi sohor.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!