Rupa-rupanya ada ular tedung sedang mengawan
TANJONG KARANG - Bunyi riuh monyet peliharaan seorang penduduk di Kampung Haji Razali di sini membawa kepada penemuan sepasang ular tedung yang sedang mengawan di belakang rumah pada petang Isnin.
Ahmad Firdaus Abd Manap, 25, berkata, dalam kejadian kira-kira jam 4 petang itu, dia pergi ke rumah rakannya untuk menghantar dokumen penting.
Menurutnya, sejurus tiba di rumah rakannya itu, mereka terdengar bunyi bising monyet berhampiran reban ayam belakang rumah.
"Saya kemudian memeriksa di belakang rumah dan terkejut apabila terjumpa sepasang ular sedang mengawan.
"Dengan sedikit kemahiran menangkap haiwan berbisa, saya menangkap seekor daripadanya, sementara seekor lagi dapat meloloskan diri," katanya kepada Sinar Harian di sini pada Selasa.
Ahmad Firdaus berkata, ular yang ditangkap itu bertindak agresif, namun dia berjaya memasukkan haiwan itu di dalam sebuah akuarium terbiar berhampiran.
Katanya, dia kemudian menghubungi Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Kuala Selangor untuk membantu menangkap haiwan berkenaan.
Sementara itu, Ketua Sektor Operasi Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Kuala Selangor, Leftenan Muda (PA) Mohd Izzuddin Ismail berkata, pihaknya menerima panggilan daripada pengadu pada jam 6 petang.
Menurut beliau, seramai empat anggota bergegas ke tempat kejadian dan menemui ular sepanjang lebih satu meter itu yang diletakkan di dalam akuarium dengan ditutupi batu pada bahagian atas.
"Anggota kemudian menangkap ular terbabit menggunakan peralatan khas dan reptilia itu kemudian diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) untuk tindakan lanjut," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!