5,180 kg tepung gandum dirampas
GEORGETOWN - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Daerah Timur Laut merampas 5,180 kilogram (kg) tepung gandum daripada seorang pemborong pada Isnin.
Ketua Penguat kuasa Daerah KPDNHEP Timur Laut, Ahmad Ahrazzuddin Ahmad Hamdan berkata, tepung tersebut didapati disimpan di premis pemborong itu di kawasan Perindustrian Bayan Lepas, di sini.
Menurutnya, sepasukan penguat kuasa KPDNHEP telah menyerbu premis itu pada jam 12.30 tengah hari selepas menerima maklumat berhubung kegiatan pemborong tersebut.
"Hasil pemeriksaan mendapati, pemborong berkenaan memiliki barang kawalan berjadual iaitu tepung gandum melebihi had yang dibenarkan dalam lesen iaitu 12 tan yang mana kuantiti yang dibenarkan adalah tujuh tan sahaja dalam satu-satu masa," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Tambahnya, siasatan mendapati, kesemua tepung gandum yang disimpan adalah untuk dijual menjelang musim perayaan Tahun Baru Cina pada Februari nanti.
"Ketika diambil keterangan, pemborong memberi alasan bekalan tepung gandum mendapat permintaan tinggi di pasaran ketika musim Tahun Baru Cina.
"Kita menyita tepung gandum 2,930 kg jenama kompang dan 2,250 kg tepung gandum cap kereta kebal dari premis tersebut. Semua tepung gandum yang disita adalah berkapasiti satu kilogram setiap bungkusan," katanya.
Ahmad Ahrazzuddin berkata, nilai rampasan keseluruhan bagi serbuan tersebut dianggarkan berjumlah RM9,339.
"Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM1 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan. Sementara itu, syarikat perbadanan pula boleh dikenakan denda tidak melebihi RM2 juta," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!