'Fokus selesai masalah rakyat, ketepikan suara sumbang'

Tangkap layar hantaran di Facebook Wan Saiful Wan Jan pada Selasa.
Tangkap layar hantaran di Facebook Wan Saiful Wan Jan pada Selasa.
A
A
A

SHAH ALAM - Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Wan Saiful Wan Jan menggesa kerajaan supaya tidak menghiraukan kritikan yang dilontarkan oleh mereka yang disifatkan sebagai suara-suara sumbang.

Wan Saiful berkata, kerajaan perlu terus memfokuskan usahanya dalam membantu menyelesaikan masalah rakyat dan juga memulihkan ekonomi negara.

Menurutnya, dengan Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (Permai), beliau yakin rakyat dapat melihat dengan jelas keikhlasan Muhyiddin dalam menjaga negara berbanding dengan mereka yang berterusan berusaha untuk memperjuangkan kepentingan peribadi.

“Bersatu menggesa agar kerajaan meneruskan fokus kepada rakyat dan negara dan tidak menghiraukan suara-suara sumbang.

“Bersatu yakin rakyat dapat melihat dengan jelas keikhlasan Tan Sri Muhyiddin dalam menjaga negara ini, dan betapa besar beza antara beliau dengan mereka yang tidak habis-habis dengan kepentingan peribadi.

“Bersatu juga mengajak semua pihak agar memberi sokongan penuh kepada Tan Sri Muhyiddin dan kerajaan dalam usaha-usaha yang dijalankan,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya pada Selasa.

Pada Isnin, Muhyiddin telah mengumumkan pakej bantuan Permai yang melibatkan peruntukan bernilai RM15 bilion.

Pakej tersebut yang terdiri daripada 22 inisiatif berteraskan tiga matlamat utama iaitu memerangi pandemik, memelihara kebajikan rakyat dan menyokong kesinambungan perniagaan.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu beliau berkata, penekanan yang diberikan dalam pakej tersebut adalah pendekatan yang bertepatan dengan keperluan semasa.

Jelasnya, kesemua langkah yang diumumkan Muhyiddin itu akan mewujudkan kitaran ekonomi domestik yang lebih terjamin dan seterusnya menyumbang kepada penjanaan kembali ekonomi negara.

“Rakyat perlukan tunai di tangan untuk membolehkan mereka berbelanja, baik untuk kehidupan seharian mahupun untuk menjaga kesihatan.

“Semua lapan inisiatif dalam agenda ‘Memelihara Kebajikan Rakyat’ pasti akan membantu mempertingkat jumlah tunai di tangan kita semua,” katanya.

Tambah beliau, sepuluh lagi inisiatif dalam kerangka "Menyokong Kelangsungan Perniagaan" akan memastikan kelangsungan pengusaha kecil dan sederhana dan membolehkan mereka kekal menjadi majikan serta menyediakan sumber pendapatan buat majoriti rakyat.

Jangan peduli suara-suara sumbang, fokus pada rakyat, kata Wan Saiful kepada PN FMT Reporters -January 19, 2021...

Posted by Wan Saiful Wan Jan on Monday, January 18, 2021

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!