Gunung Merapi 'muntah' lava
YOGYAKARTA - Gunung Merapi antara gunung berapi paling aktif di dunia, menghamburkan awan panas, aliran lava mengalir turun dari kawah pada Selasa dengan ketinggian letusan 500 meter dan meluncur ke arah hulu Kali Krasak sejauh 1.8 kilometer (km).
Ketua Pusat Penyelidikan dan Pembangunan Teknologi Bencana Geologi (BPPTKG), Hanik Humaida, dalam satu kenyataan memaklumkan lava panas itu dirakam pada 2.27 pagi (waktu tempatan) memiliki durasi 209 saat dengan catatan amplitud maksimum 60 milimeter.
"Jarak gelongsor kira-kira 1.8km ke barat daya (Kali Krasak-Kali Boyong). Diperhatikan bahawa ketinggian ledakan ialah 500 meter di atas puncak. Angin bertiup ke timur," menurut kenyataan itu, lapor ANTARA News.
Berdasarkan pemerhatian visual, asap kawah diperhatikan berwarna putih dengan intensiti sederhana dan tinggi 50 meter di atas puncak kawah Gunung Merapi.
"Cuaca di gunung itu cerah. Angin bertiup lemah hingga sederhana ke timur dengan suhu udara 14-20 darjah celsius, kelembapan 71 peratus hingga 93 peratus manakala tekanan udara sekitar 563-686 mmHg," katanya.
Pada 14 Januari, BPPTKG memaklumkan bahawa jumlah kubah lava Gunung Merapi mencapai 46.766 meter padu dengan kadar peningkatan sekitar 8.500 meter padu sehari.
Letusan gunung Merapi boleh meliputi kawasan bahaya dalam radius lima kilometer dari puncak gunung.
BPPTKG mengesyorkanaktiviti perlombongan di sungai berhampiran Gunung Merapi dihentikan dan meminta pelancong dan pendaki untuk tidak melakukan kegiatan di daerah itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!