Lima agensi setuju beri moratorium peminjam terjejas Covid-19
PUTRAJAYA - Majlis Amanah Rakyat (Mara), Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (Perda), Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (Kejora), Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) dan Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) bersetuju memberi moratorium bagi meringankan beban peminjam dan penyewa mereka yang terjejas akibat pandemik Covid-19.
Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Dr Abd Latiff Ahmad dalam kenyataan pada Selasa berkata, Mara akan memberikan penangguhan bayaran pinjaman bersasar kepada 10,000 bekas pelajar dengan implikasi kewangan sebanyak RM4 juta.
Mara juga memberikan penangguhan pembiayaan perniagaan bersasar kepada 1,500 usahawan dengan implikasi kewangan sebanyak RM4.8 juta dan diskaun sewaan kepada 5,500 orang penyewa premis perniagaan Mara melibatkan nilai diskaun sebanyak RM6.6 juta, katanya.
"Dianggarkan seramai 17,000 usahawan dan peminjam pelajaran Mara bakal mendapat manfaat dengan keseluruhan bantuan bersasar dan diskaun sewaan mencecah RM15.4 juta," katanya.
Abd Latiff berkata berkata Perda pula memberikan penanggguhan dan penjadualan semula bayaran balik skim pinjamannya melibatkan 98 peminjam dengan implikasi kewangan sebanyak RM130,000.
Perda juga mengecualikan bayaran sewa premis perniagaannya melibatkan 368 penyewa; pengecualian bayaran sewa tanah melibatkan 54 penyewa dan pengecualian bayaran sewa rumah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) Tok Alang, Seberang Perai Utara melibatkan 55 penyewa miskin, katanya.
"Dianggarkan seramai 575 penyewa atau peminjam akan menerima manfaat yang melibatkan jumlah keseluruhan implikasi kewangan iaitu sebanyak RM561,000," katanya.
Menurut Abd Latiff, Kejora pula memberikan penangguhan bayaran sewa rumah-rumah kampung tersusun melibatkan seramai 124 penyewa dan bayaran balik pinjaman bagi 58 unit Rumah Pangsa Bandar Tenggara.
Kejora juga bersetuju mengecualikan bayaran sewa tiga unit bangunan komersial, tapak perniagaan dan premis perniagaan miliknya, selain menangguhan dan menjadualkan semula bayaran sewa premis pelancongan melibatkan empat operator premis pelancongan, katanya.
"Dianggarkan seramai 474 penyewa dan peminjam akan menerima manfaat yang melibatkan jumlah keseluruhan implikasi kewangan iaitu sebanyak lebih RM685,000," katanya.
Abd Latiff berkata Kesedar turut memberikan penangguhan dan penjadualan semula bayaran balik skim pinjamannya melibatkan 387 usahawan dan mengecualikan bayaran sewa premis untuk 207 peniaga.
"Peminjam dan penyewa Kesedar perlu mengemukakan permohonan moratorium dengan syarat mereka tiada tunggakan sewaan atau bayaran balik dalam tempoh tiga bulan terakhir dan perniagaan mereka terjejas lebih 50 peratus akibat penularan Covid-19," katanya.
Beliau berkata dianggarkan ia akan memberi manfaat kepada 594 usahawan dengan implikasi kewangan sebanyak RM287,000.
Ketengah pula memberikan pengecualian bayaran sewa premis perniagaan dan rumah kediaman selama enam bulan kepada 1,042 penyewa dan penangguhan bayaran sewa beli rumah selama enam bulan melibatkan 201 pembeli rumah Ketengah, katanya.
"Dianggarkan seramai 1,243 peniaga, usahawan dan penyewa, bakal menerima manfaat melibatkan jumlah keseluruhan implikasi kewangan sebanyak RM1.1 juta," katanya.
Dalam pada itu, Abd Latiff berkata Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) akan meneruskan Program Peningkatan Pendapatan (PPP) dan Program Sokongan Pengukuhan Keusahawanan Luar Bandar yang masing-masing menyasarkan 700 penerima dan 250 usahawan luar bandar.
"KPLB juga akan merancakkan penglibatan usahawan luar bandar dalam platform digital melalui Program DesaMall@KPLB. Sebanyak RM4 juta diperuntukkan bagi program ini yang akan memberi manfaat kepada 1,500 usahawan desa," katanya.
Program ekonomi berkelompok seperti Progam Desa Lestari juga akan diteruskan dengan sasaran membangunkan 11 lagi kampung dengan peruntukan berjumlah RM10 juta, katanya.
"Program ini dijangka memberi manfaat kepada lebih daripada 2,200 penduduk kampung di seluruh negara," kata Abd Latiff. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!