Isu anjing liar: Tempat belum siap

Mohamad Taufek menandatangani plak perasmian sambil diperhatikan Zazali(berbaju putih) dan Hasnah(dua dari kanan)
Mohamad Taufek menandatangani plak perasmian sambil diperhatikan Zazali(berbaju putih) dan Hasnah(dua dari kanan)
A
A
A

SEREMBAN - Majlis Perbandaran Seremban (MPS) berhadapan masalah untuk meneruskan operasi tangkapan anjing buat masa ini berikutan penempatan anjing liar dan terbiar di Kampung Kuala Sawah, Rantau di sini, masih belum disiapkan.

Yang Dipertua MPS, Datuk Zazali Salehudin berkata, penempatan anjing itu diuruskan sepenuhnya oleh sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan kerajaan hanya menyediakan tapak tanah.

"Tapi timbul masalah kerana NGO berkenaan bina bukan di tapak sebenar, tapi tanah milik persendirian yang menyebabkan mereka alami kerugian RM40,000.

"Lagipun kita dalam keadaan tergesa-gesa untuk siapkan berikutan MPS menerima banyak aduan anjing liar. Saya kira dalam tempoh sebulan lagi ia akan dapat disiapkan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media program Penanaman Pokok Anjuran Jabatan Taman dan Lanskap Bersama Biro Sains, Teknologi dan Inovasi Puspanita Negeri Sembilan di Taman Awam Tasik Jaya, di sini, hari ini.

Bagaimanapun beliau berkata, MPS akan tetap mengambil tindakan menangkap anjing jika ada aduan yang memerlukan tindakan segera kerana kontraktor bertanggungjawab telah pun dilantik.

Katanya, jika lokasi penempatan anjing itu siap, MPS mampu menangkap 20 ekor anjing setiap hari.

Zazali (kiri) dan Mohamad Taufek menanam anak pokok di Taman Awam Tasik Jaya.
Zazali (kiri) dan Mohamad Taufek menanam anak pokok di Taman Awam Tasik Jaya.

Artikel Berkaitan:

"MPS dah tiada masalah untuk jalankan operasi tangkap anjing liar. Cuma kalau kita tangkap sekarang, tiada lokasi yang boleh tempatkan anjing ini.

"Jika ada keperluan mendesak, kita akan tangkap dan serah pada NGO berkaitan untuk letak di tempat mereka di Mambau, tapi, saya difahamkan tempat itu pun dah lebihi had 200 ekor anjing," katanya.

Dalam perkembangan lain Adun Paroi, Mohamad Taufek Abd Ghani yang merasmikan program itu berkata, pihaknya telah mencadangkan kepada MPS untuk menjadikan Taman Awam Tasik Jaya sebagai lokasi perkahwinan dalam taman.

Beliau berkata, perkara itu akan dimuktamadkan dan diumumkan oleh MPS nanti kerana ada beberapa kemudahan bersesuaian perlu disediakan.

Pada majlis itu, sebanyak 15 anak pokok pulai dan sakura ditanam.

Hadir sama, Pengerusi Puspanita Negeri Sembilan, Datin Dr Hasnah Mohamad.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!