213.7 hektar sawah padi diserang bena perang
ALOR SETAR - Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) giat melaksanakan kawalan perosak bena perang secara spesifik terutama di kawasan berisiko dengan menggunakan racun demonstrasi.
Pengerusinya, Ahmad Tarmizi Sulaiman berkata, pihaknya telah melaksanakan kawalan bena perang di Kampung Gelam, Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) D-IV (Permatang Buluh) pada Khamis lalu dan kawalan akan diteruskan di kawasan lain secara berperingkat.
Menurutnya, seluas 213.7 hektar sawah padi diserang bena perang direkodkan sehingga Sabtu lalu.
“MADA melaksanakan program pengawasan dan ramalan perosak (PNR) di lapangan dengan kerjasama Bahagian Biosekuriti Tumbuhan (BBT), Jabatan Pertanian. Terdapat 945 poin PNR di kawasan MADA yang merupakan tanda aras penetapan tahap ambang ekonomik (ETL) sesuatu perosak atau penyakit padi. Pemantauan dilakukan sebanyak enam pusingan pada setiap musim penanaman padi,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Ahmad Tarmizi berkata, program PNR penting untuk pengesanan awal perosak dan penyakit sebelum dihebahkan kepada peladang melalui bendera amaran.
“Sehingga Sabtu lalu, 131 bendera amaran dinaikkan di seluruh kawasan MADA untuk memberi amaran mengenai kehadiran dan serangan bena perang.
Bendera amaran pertama dikeluarkan pada 6 Disember 2020 di kawasan Wilayah II, Jitra manakala di kawasan PPK G-IV khususnya, bendera amaran dikeluarkan pada 13 Disember lalu,” katanya.
Beliau berkata demikian bagi mengulas keluhan beberapa peladang di Kampung Dulang Besar, Yan yang mengalami kerugian musim ini apabila pokok padi mereka diserang bena perang sejak awal bulan ini.
"Sekiranya tidak dikawal, serangan penyakit itu boleh merebak ke kawasan berdekatan seperti Kuala Sungai Daun, Kuala Sungai Limau, Sungai Tongkang, Sungai Kering dan Kuala Sedaka.
"Bena perang menyerang pangkal rumpun padi berhampiran permukaan air dan menghisap cairan dalam pokok padi dan sekiranya tidak dikawal, menyebabkan pokok padi kering seperti terbakar dan seterusnya mati. Keadaan ini dikenali sebagai ‘hopperburn’ yang menyebabkan pengurangan hasil padi," katanya.
Mengulas lanjut, Ahmad Tarmizi berkata, MADA merekodkan data serangan bena perang dan hopperburn menerusi Remote Sensing dan Sistem Maklumat Geografi (GIS SMP), seluas 213.70 hektar serangan bena perang dan 76.40 hektar hopperburn direkodkan sehingga Sabtu.
Katanya, ia merangkumi Wilayah I (Perlis) seluas 8.48 hektar serangan bena perang dan 2.25 hektar hopperburn, Wilayah II (Jitra) seluas 35.55 hektar (bena perang) dan 0.20 hektar (hopperburn), Wilayah III (Pendang) seluas 23.16 hektar (bena perang) serta Wilayah IV (Kota Sarang Semut) seluas 146.51 hektar (bena perang) dan 73.40 hektar (hopperburn).
“Tindakan lain termasuk melaksanakan beberapa tindakan mengurangkan risiko serangan perosak, antaranya kempen pengembangan MADA dengan menyampaikan maklumat dan teknologi terkini tanaman padi kepada peladang melalui kempen secara berterusan,” katanya.
Menurutnya, kempen pengembangan melibatkan lima aspek iaitu pematuhan jadual tanaman, tabur terus dalam air bertakung, pengurusan rumpai padi, pengurusan perosak dan pematuhan amalan agronomi.
“Bagi musim 2/2020, MADA melaksanakan 233 kempen pengembangan melibatkan 4,295 peserta. Hebahan penyampaian maklumat juga dilaksanakan menerusi media cetak, media sosial, video, SMS alert dan pergerakan unit mobile,” katanya.
Ahmad Tarmizi berkata, pengembangan bersasar mengikut blok pengairan turut diadakan selain menetapkan kawasan spesifik kepada setiap pengembangan di peringkat lapangan.
“Kerjasama strategik dilakukan bersama jabatan dan agensi terlibat dalam tanaman padi seperti Jabatan Pertanian, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi), universiti tempatan serta syarikat agrokimia, merangkumi kajian, demonstrasi serta pemantauan perosak di lapangan. Ia bagi memastikan peladang di Kawasan Muda dapat meningkatkan hasil dan pendapatan sejajar dengan matlamat MADA melebihkan hasil bagi keperluan negara dan meningkatan kesejahteraan peladang,” katanya.
Bagaimanapun katanya, peladang juga perlu melakukan pemantauan ladang dengan lebih kerap dan teliti supaya tindakan kawalan dapat dilakukan segera dan efektif.
INFO
Pemantauan bena perang perlu dilakukan pada setiap peringkat pertumbuhan pokok padi bermula dari peringkat semaian. Kehadiran bena perang perlu diawasi, sekiranya melebihi tahap ambang ekonomi (ETL) iaitu lima ekor dewasa atau 10 ekor nimfa, tindakan kawalan perlu dilakukan segera bagi elak serangan merebak. Kawalan kimia disyorkan adalah racun serangga yang mempunyai bahan aktif contohnya buprofezin, pymetrozine dan imidacloprid.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!