Gesa tolak pemimpin diktator dalam DAP
IPOH - Ahli DAP digesa menolak pemimpin yang bersifat diktator dalam parti berkenaan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Malim Nawar, Leong Cheok Keng berkata, biarpun beliau sudah dipecat, semua ahli yang masih berada dalam parti perlu meneruskan perjuangan menolak pemimpin seumpama itu.
Menurutnya, keputusan pemecatan itu tidak akan mempengaruhi tugas sebagai ADUN Malim Nawar tetapi memberi kelebihan untuk berkhidmat kepada rakyat.
"Saya meminta semua anggota DAP di kawasan saya untuk tetap tenang dan meneruskan perjuangan parti. Saya mahu mereka patuh arahan kepimpinan parti di peringkat pusat serta memantapkan lagi demokrasi di dalam parti.
"Mereka mesti menolak kepimpinan bersifat diktator dan hipokrit dan menyokong pemimpin yang baik dengan semangat 'roket' sebenarnya," katanya dalam kenyataan akhbar pada Selasa.
Sementara itu, di sebalik pemecatan keahliannya oleh parti itu, Cheok Keng meluahkan kekecewaan terhadap tindakan itu.
Menurutnya, lebih sedekad daripada hidupnya untuk parti tersebut namun ia berakhir dengan pemecatan seperti itu.
"Selepas ini saya akan memainkan peranan yang lebih berkesan dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk memastikan dasar dibentuk oleh kerajaan memihak kepada rakyat khususnya di kawasan DUN Malim Nawar," katanya.
Pada Isnin, Cheok Keng memaklumkan beliau tidak menerima sebarang surat pemecatannya oleh DAP Pusat.
Menurutnya, pengumuman mengenai pemecatan itu hanya diketahui menerusi laporan sebuah portal berita pada Isnin.
ARTIKEL BERKAITAN Saya belum terima surat pemecatan: ADUN Malim Nawar
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!