Bekalan minyak masak di Negeri Sembilan mencukupi
SEREMBAN - Bekalan minyak masak di negeri ini dijamin mencukupi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga 1 Febuari depan.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Negeri, Ain Arjuna Aziz Zaman berkata, stok minyak masak sedia ada di 151 peruncit terpilih adalah sekitar 195,543 kilogram dan cukup untuk menampung keperluan pengguna di negeri ini.
“Kita telah memeriksa 295 premis di negeri ini yang membekalkan minyak masak mulai 9 Januari lepas hingga hari ini dan hasil pemeriksaan mendapati bekalan minyak masak dalam paket satu kilogram yang dijual dengan harga RM2.50 adalah mencukupi dan tidak mengalami masalah terputus bekalan.
Beberapa premis didapati kehabisan stok juga telah membuat tempahan daripada pembekal dan dijangka menerima bekalan dalam masa terdekat,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Tambahnya, pihaknya yakin kemungkinan permintaan orang ramai terhadap minyak masak paket satu kilogram akan meningkat susulan pelaksanaan PKP ini
Sementara itu, Ain Arjuna berkata, sehingga kini pihaknya tidak menerima sebarang aduan daripada pengguna berkaitan kenaikan harga minyak masak dalam botol.
Katanya, pemeriksaan mendapati kenaikan harga bagi minyak masak itu hanya melibatkan beberapa jenama dan berlaku di lokasi tertentu sahaja.
"Berdasarkan rekod, sebanyak 3,062 premis telah diperiksa membabitkan 2,557 premis di kawasan bandar dan juga 505 luar bandar setakat 1 Januari lalu hingga hari ini (Selasa).
Pegawai Penguat kuasa KPDNHEP, bersama Pegawai Pemantau Harga di negeri ini akan sentiasa memantau dan memeriksa bagi memastikan bekalan mencukupi dan harga barang stabil tanpa kenaikan mendadak," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!