Aliran trafik perlahan di beberapa lebuh raya utama

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Aliran trafik di beberapa lebuh raya utama dilaporkan perlahan setakat 12.30 tengah hari ini.

Menurut jurucakap Plus Malaysia Berhad, aliran trafik di bahagian utara bergerak perlahan dari Kuala Kangsar menuju ke Terowong Menora, Ipoh ke Simpang Pulai, Tapah ke Hentian Rehat dan Rawat Tapah serta Bidor ke Sungkai.

“Terdapat kemalangan sebuah lori tangki di Persimpangan Jawi yang menyebabkan semua lorong terhalang dan menyebabkan aliran trafik perlahan sejauh 12 kilometer,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Beliau berkata aliran trafik di selatan pula perlahan dari Nilai ke Bandar Ainsdale, Senawang ke Hentian Rehat Senawang, Kulai ke Sedenak dan Bangunan Sultan Iskandar dari Singapura ke Malaysia.

Sementara itu, jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) ketika dihubungi memaklumkan aliran trafik di Lebuhraya Pantai Timur (LPT) 1 dan 2 juga dilapor lancar di kedua-dua arah.

“Aliran trafik hanya perlahan di Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak sebelum Terowong Genting Sempah,” katanya.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi talian bebas tol Plusline di 1800-88-0000 dan laman Twitter di www.twitter.com/plustrafik atau talian LLM di 1-800-88-7752 serta laman Twitter di www.twitter.com/llminfotrafik. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!