Ahmad Said, isteri positif Covid-19
KUALA TERENGGANU - Pengerusi Barisan Nasional (BN) Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said dan isteri, Toh Puan Seri Norliza Mahmud disahkan positif Covid-19.
Makluman itu dibuat melalui Facebook rasmi UMNO Kemaman, sebentar tadi.
Melalui catatan itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal itu dikatakan telah mendapatkan rawatan di hospital.
"Marilah kita bersama-sama mendoakan kesihatan Datuk Seri (Ahmad Said) dan isteri kembali pulih seperti biasa," jelas kenyataan itu.
Sementara itu, Ahmad ketika dihubungi berkata, mereka berdua sedang mendapatkan rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu.
Jelasnya, mereka berdua melakukan swab test tiga hari lepas dan disahkan positif pada Selasa.
"Kami tidak menunjukkan sebarang simptom, hanya mengalami keletihan, sebelum membuat keputusan melakukan swab test," katanya.
Sementara itu, bekas Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dalam catatan di Facebooknya, turut mendoakan agar Ahmad dan isterinya sembuh.
Bekas Ahli Parlimen Kemaman itu turut memaklumkan, pasangan itu disahkan positif dan mengharapkan segala urusan pasangan itu dipermudahkan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!