Covid-19: 14 hospital lagi rawat pesakit tahap ketiga dan ke atas

Dr Noor Hisham ketika sidang media harian berkaitan jangkitan COVID-19 di Kementerian Kesihatan hari ini. Foto Bernama
Dr Noor Hisham ketika sidang media harian berkaitan jangkitan COVID-19 di Kementerian Kesihatan hari ini. Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyenaraikan 14 lagi hospital yang dikhaskan untuk merawat pesakit Covid-19 pada tahap tiga hingga lima.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, hospital berkenaan mempunyai kapasiti keseluruhan 539 katil.

"Hospital berkenaan adalah Hospital Sultan Ismail, Hospital Muar dan Hospital Sultanah Nora Ismail di Johor," katanya pada sidang akhbar perkembangan terkini Covid-19 di KKM, di sini pada Selasa.

Menurutnya, di Selangor terdapat dua hospital yang merawat pesakit berkenaan iaitu Hospital Serdang dan Selayang.

"Di Kedah pula Hospital Sultan Abdul Halim, manakala Hospital Pekan, Jengka dan Mu'adzam Shah di Pahang," katanya.

Beliau berkata, Kelantan dan Terengganu pula masing-masing terdapat pertambahan satu hospital iaitu Hospital Jeli serta Setiu.

"Hospital Kudat di Sabah diaktifkan semula dan di Sarawak Hospital Limbang serta Sarikei," katanya.

Dr Noor Hisham berkata, pesakit yang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) turut meningkat dengan 289 pesakit.

Artikel Berkaitan:

"Begitu juga dengan pesakit yang memerlukan bantuan pernafasan iaitu 96 kes," katanya.

Menurutnya, kes tahap satu dan dua yang berisiko ditempatkan di Pusat Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) dan pusat kuarantin.

"Bagi pesakit tahap satu dan dua yang tidak mempunyai risiko, boleh dinasihatkan menjalani kuarantin di rumah dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan," katanya.

Katanya, penggunaan hotel dan asrama pekerja boleh mengurangkan kesesakan di fasiliti KKM.

"Sebab kita tak mampu lagi menempatkan kesemua kes positif," katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai jangkitan yang berlaku terhadap pesakit yang mendapatkan rawatan di Hospital Serdang dan tular di media sosial sebelum ini, beliau berkata, pihaknya sedang menyiasat perkara itu.

"Sebab itulah kita nasihati semua agar menjauhi hospital kerana jangkitan antara petugas, pekerja dan pesakit boleh berlaku," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!