Penyokong Trump cuba jual komputer riba Pelosi kepada perisik Rusia

Beberapa foto menunjukkan Williams berada berhampiran pejabat Pelosi ketika kejadian pencerobohan ke atas bangunan Capitol pada 6 Januari lalu. - Foto: Agensi
Beberapa foto menunjukkan Williams berada berhampiran pejabat Pelosi ketika kejadian pencerobohan ke atas bangunan Capitol pada 6 Januari lalu. - Foto: Agensi
A
A
A

WASHINGTON - Seorang gadis yang dikenal pasti menyertai rusuhan ke atas Capitol didakwa mencuri komputer riba di pejabat Speaker Dewan Perwakilan, Nancy Pelosi dan berharap untuk menjualnya kepada agensi risikan Rusia.

Aduan itu difailkan ejen Biro Siasatan Persekutuan (FBI) di Mahkamah Daerah Amerika Syarikat di Washington yang memohon penahanan Riley June Williams dari Pennsylvania atas tindakannya melakukan pencerobohan di bangunan Capitol.

The Washington Post pada Isnin melaporkan Williams telah ditahan, namun ia tidak memberikan butiran lanjut tentang perkara tersebut.

Difahamkan, ejen FBI memberkas suspek berdasarkan beberapa gambar dan rakaman video yang memaparkan gadis terbabit dilihat berada berhampiran pejabat Pelosi.

Saksi dikenali sebagai W1 yang mengaku bekas kekasih Williams mendedahkan rancangan gadis tersebut yang mahu menghantar komputer riba tersebut kepada rakannya di Moscow untuk dijualkan kepada agensi risikan asing SVR.

FBI dalam satu kenyataan berkata siasatan masih dijalankan untuk mengesahkan sama ada komputer riba tersebut dicuri atau tidak.

Terdahulu, ibu gadis itu mendakwa anak perempuannya secara tiba-tiba terjebak dalam kumpulan pro-Presiden Donald Trump malah dia juga sanggup ke Washington untuk menyertai perhimpunan pada hari kejadian.

Dalam perkembangan berkaitan, pihak berkuasa Persekutuan turut menahan pesara bomba dan seorang pelajar jurusan fesyen di New York serta seorang lagi lelaki dari Iowa yang terlibat insiden rusuhan terbabit.

Artikel Berkaitan:

Sejak minggu lalu, beberapa penyokong Trump telah diberkas selepas FBI meminta orang ramai supaya berkongsi maklumat tentang mereka. - Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!