Covid-19: Sembilan kluster baharu dikesan

KKM telah mengenal pasti sembilan kluster baharu Covid-19
KKM telah mengenal pasti sembilan kluster baharu Covid-19
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mengenal pasti sembilan kluster baharu Covid-19 dengan empat daripadanya melibatkan kluster tempat kerja, dua perjumpaan keluarga, satu dari majlis perkahwinan, manakala selebihnya melibatkan saringan kontak rapat dan saringan individu bergejala.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, sebanyak 3,631 kes positif baharu dilaporkan pada Selasa menjadikan jumlah kumulatif kes positif di Malaysia kini 165,371 kes.

"Daripada jumlah kes baharu berkenaan, tujuh merupakan kes import yang mendapat jangkitan di luar negara, manakala penularan dalam negara adalah 3,624 kes. Bagi kes penularan di dalam negara, 2,754 kes melibatkan warganegara Malaysia manakala 870 kes adalah bukan warganegara," katanya pada sidang akhbar perkembangan Covid-19 di sini pada Selasa.

Beliau berkata, kes aktif dengan kebolehkjangkitan Covid-19 pula adalah 39,464 kes dan ketika ini 238 kes positif sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dengan 96 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Kes sembuh Covid-19 pada Selasa pula ialah sebanyak 2,944 kes menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh di negara ini ialah 125,288 kes atau 75.8 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Sementara itu, Dr Noor Hisham memaklumkan terdapat 14 lagi pertambahan kes kematian akibat wabak itu melibatkan 12 warganegara dan dua warga asing iaitu tujuh kes di Selangor, dua di Johor serta masing-masing satu kes di Perak, Sarawak, Kedah, Kelantan dan Labuan.

Mengenai kluster baharu, beliau berkata, tiga kluster dikesan di Johor, dua di Selangor dan masing-masing satu di Kedah, Terengganu, Pahang dan Kuala Lumpur.

Kluster yang dikesan melibatkan penularan di tempat kerja adalah Kluster Jalan Masjid di Kuala Lumpur dengan 16 kes positif; Kluster Jalan Taruka (16 kes positif) dan Kluster Sri Gading (tujuh kes positif) di Johor dan Kluster Kebor Air di Terengganu (18 kes positif).

Artikel Berkaitan:

Kluster melibatkan perhimpunan keluarga ialah Kluster Rantau Cempaka di Pahang serta Selangor (14 kes positif) dan Kluster Sayong Pinang di Johor (18 kes positif), manakala Kluster Rakut di Sarawak dengan 10 kes positif dikesan membabitkan majlis perkahwinan.

Sementara itu, kluster di pusat tahanan adalah Kluster Penjara Jalan Sungai Jerlok, Selangor dengan 217 kes positif, manakala Kluster Kupang di Kedah merekodkan 14 kes positif hasil saringan individu bergejala. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!